TENGKU ZAFRUL KELUAR UMNO: ANTARA PERCATURAN POLITIK DAN IMPLIKASI KERAJAAN PERPADUAN
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Nampaknya politik Malaysia terus bergelora; keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sahaja telah mencuri perhatian, malah mencetuskan pelbagai reaksi daripada kalangan pemimpin parti dan pemerhati politik serta menjadi topik hangat di laman media sosial. Keputusan besar yang dibuat oleh Tengku Zafrul ini menambahkan warna baharu kepada dinamik politik dalam Kerajaan Perpaduan dan membuka semula perbahasan mengenai ketelusan, kesetiakawanan serta etika dalam hubungan antara parti.
Pengumuman Zafrul dibuat ketika suasana politik dalam PKR dan Kerajaan Perpaduan masih panas dengan spekulasi rombakan kabinet susulan peletakan jawatan dua tokoh penting daripada PKR, iaitu Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Maka tidak hairanlah keputusan Zafrul dilihat bukan hanya sebagai penghijrahan individu, tetapi sebagai isyarat kepada gelombang perubahan yang lebih besar – mungkin di luar jangkaan ramai.
Tengku Zafrul menyatakan bahawa keputusan beliau bukan dibuat secara terburu-buru, malah telah pun berbincang dengan kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Ahmad Zahid Hamidi. Namun, walaupun proses itu tampak berhati-hati, impaknya terhadap UMNO sangat ketara. Reaksi segera daripada pimpinan parti seperti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, dan Datuk Dr. Puad Zarkashi menunjukkan rasa tidak puas hati yang mendalam. Malah, ada desakan agar Zafrul meletak jawatan menteri dan UMNO turut menuntut pampasan sehingga RM100 juta atas dakwaan “lompat parti”.
Dari sudut perlembagaan, tindakan Zafrul mungkin sah, namun dari sudut moral dan keutuhan Kerajaan Perpaduan, ia mengundang persoalan serius. Jika seorang pemimpin utama boleh keluar parti begitu sahaja, apakah itu mencerminkan kesepaduan sebenar dalam gabungan yang memerintah? Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa kemasukan ahli dari parti lain dalam kerajaan tidak wajar dilakukan secara "sewenang-wenangnya" agar tidak mencetuskan prasangka dan retak dalam semangat kerjasama.
Dalam masa yang sama, penerimaan rasmi keahlian Zafrul oleh PKR masih belum dibuat. Menurut Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh, setiap permohonan akan diteliti secara profesional, mengambil kira pelbagai pandangan termasuk dari rakan-rakan gabungan dan akar umbi. Ini memperlihatkan kehati-hatian PKR agar tidak menambah ketegangan dalam hubungan dalaman kerajaan.
Malah, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Adam Adli, secara terbuka mengakui bahawa penyertaan Zafrul berpotensi menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara PKR dan UMNO. “Tak dinafikan kalau situasi ini hanya menimbulkan suasana yang akan teganglah sedikit. Jadi diharap kita boleh tread this very carefully,” katanya dalam satu forum di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya. Beliau menekankan keperluan untuk menangani isu ini dengan penuh hemah agar tidak menjejaskan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Namun begitu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, tampil dengan pandangan berbeza apabila mendedahkan bahawa perbincangan untuk membawa Zafrul menyertai PKR telah berjalan lebih setahun. Menurut beliau, penyertaan Zafrul mampu membuka ruang untuk menarik sokongan pelbagai pihak dan memberi nilai tambah kepada PKR.
Apapun, langkah Tengku Zafrul ini sebenarnya mencerminkan hakikat betapa rapuhnya kepercayaan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan. Persoalan paling penting yang muncul ialah: adakah penyertaan Zafrul ke dalam PKR benar-benar berasaskan keserasian prinsip perjuangan, atau sekadar strategi politik peribadi untuk kelangsungan jawatan dalam kabinet selepas tempoh senatornya tamat Disember nanti? Lebih penting lagi, adakah PKR sanggup membayar harga politik yang tinggi demi menyambut tokoh seperti beliau yang sebelum ini dijulang oleh UMNO?
Persaingan yang berlaku di antara parti komponen Kerajaan Perpaduan nampak semakin tidak sihat sehingga persepsi negatif kepada rakyat. Ruang dan peluang ini perlu dimanfaatkan oleh PAS dan Perikatan Nasional dengan sebaiknya.
KFAK
31 Mei 2025
Ulasan
Catat Ulasan