Tiada kompromi kepada pihak yang rosakkan palang


Tiada kompromi kepada pihak yang rosakkan palang

Vandalisme terhadap sistem parkir pintar
May 6, 2025

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memberi amaran keras bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu atau kumpulan bertindak merosakkan kemudahan awam, termasuk mesin palang automatik yang masih dalam keadaan diuji.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, insiden vandalisme yang berlaku pagi semalam di Jalan Seruling dan Jalan Market Kangar amat dikesali dan perlu ditangani dengan tindakan undang-undang tegas.

“Tiada kompromi bagi individu atau kumpulan yang cuba mengambil undang-undang di tangan sendiri. Perbuatan ini perlu ditolak sekeras-kerasnya kerana ia mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak beradab dalam masyarakat bertamadun,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihak syarikat pengendali, Snatch Park Bizsolutions Sdn Bhd sedang menyiasat perkara itu dan laporan polis telah dibuat oleh juruteknik syarikat terbabit, Hanif Zakwan Kamarudin.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 8:50 pagi itu menyaksikan mesin palang parkir dirosakkan oleh individu tidak dikenali, dipercayai dengan sengaja beberapa kali, hingga menjejaskan operasi sistem parkir automatik yang sedang giat diperluas di bawah inisiatif bandar pintar.

Jelas Asrul, sistem palang dan ‘bay-lock’ yang digunakan adalah mekanisme moden bagi memperkemas pengurusan parkir awam.

Namun beliau akui bahawa kerajaan negeri terbuka kepada penambahbaikan sistem dan lebih banyak sesi libat urus bersama rakyat akan dilaksanakan.

“Sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri Besar minggu lepas, beberapa penyesuaian akan dilakukan untuk memperbaiki kelemahan dan menambah baik sistem demi kemudahan rakyat serta mencapai status bandar pintar sejajar dengan hasrat Tuanku Raja Perlis,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap tindakan atau dasar yang dilaksanakan menghormati kepentingan awam, namun penentangan terhadap sesuatu dasar tidak harus dilakukan melalui kekerasan atau vandalisme.

“Kita menyeru semua pihak untuk bekerjasama, menghormati undang-undang dan menyuarakan pandangan secara berhemah. Masyarakat yang bersatu dan berdisiplin adalah asas kepada kemajuan dan keharmonian negeri kita,” katanya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan pelaku dijangka berdepan tindakan undang-undang sewajarnya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025


Ulasan