Tiada kompromi terhadap pembuli, apatah lagi buli OKU


Tiada kompromi terhadap pembuli, apatah lagi buli OKU
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Oleh AMRAN ALI
4 Mei 2025, 10:38 pm

MELAKA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam insiden buli membabitkan pelajar orang kurang upaya (OKU), sebagaimana rakaman video terbaharu yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata, perbuatan membuli pelajar istimewa adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak akan sesekali ditoleransi oleh Mara, walaupun dengan alasan gurauan.

“Tiada kompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan buli, lebih-lebih lagi melibatkan pelatih OKU. Ia amat tidak berperikemanusiaan dan saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara untuk tindakan segera dan menyeluruh terhadap pelaku yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati insiden yang berlaku adalah gurauan kasar sesama pelatih ketika mereka mengikuti latihan di GiatMara Alor Gajah sebelum ini. Kini, mereka sedang menjalani latihan industri dalam bidang teknologi kimpalan dan fabrikasi logam,” ujarnya.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar OKU didakwa menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lain di GiatMara Durian Tunggal di sini, sehingga mencetuskan kemarahan netizen selepas video kejadian itu tular dalam media sosial.

Pendedahan itu dibuat seorang pemuda menerusi klip video berdurasi dua minit yang memaparkan dirinya berbual dengan mangsa di gelanggang badminton sebelum pelajar OKU itu meluahkan perasaan.

Tambah Asyraf Wajdi, pengurusan GiatMara di Melaka akan memanggil semua individu yang terbabit dalam rakaman itu untuk disoal siasat esok.

“Pelatih OKU yang menjadi mangsa turut akan dipanggil bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian dan siasatan akan dibuat mengikut prosedur pengurusan pelatih yang telah ditetapkan.

“Tiada tempat buat pembuli di mana-mana institusi pendidikan Mara. Mana-mana pelatih atau kakitangan yang terbabit dalam salah laku ini akan berdepan tindakan paling tegas,” katanya. – UTUSAN

Ulasan