Tomok, Black di Kota Bharu rai Hari Belia Negara
May 19, 2025
KOTA BHARU: Dua artis popular tanah air, Tomok dan Black meluahkan rasa terharu apabila menerima sambutan luar biasa daripada peminat sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan malam tadi.
Persembahan dalam majlis yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu ternyata mencuri tumpuan ramai apabila diikuti oleh lebih 5,000 peminat.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang turut berkenan mencemar duli menyaksikan persembahan berkenaan.
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, beliau tidak menjangka sambutan peminat di Kelantan begitu mengujakan dan menyifatkannya sebagai detik istimewa dalam karier seninya.
“Sambutan sangat luar biasa, saya dan Black rasa sangat terharu, ia seolah-olah mengubati rindu kami terhadap peminat di negeri ini,” katanya.
Menurut Tomok, kali terakhir beliau membuat persembahan di Kota Bharu adalah ketika zaman kegemilangan kumpulan New Boyz.
“Tahun lepas saya datang ke Pasir Mas, tapi itu atas jemputan peribadi mana kala di Kota Bharu ini, sudah agak lama tidak datang. Persembahan ini menjadi satu memori yang sukar dilupakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, selain turut berkongsi pengalaman menikmati masakan kampung di Singgora tengah hari semalam.
Antaranya termasuk siput sedut pahit dan telur bersama kulat sisir yang menurutnya sukar ditemui di tempat lain.
“Memang terbaik menu masakan kampung Kelantan di Singgora tengahari tadi,” katanya lagi.
Sementara itu, Black turut menyifatkan persembahan malam tadi sebagai pengalaman luar biasa kerana berpeluang menghiburkan peminat di hadapan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
“Saya sangat terkejut kerana tidak menyangka insan istimewa akan turut serta dalam program ini. Ini pengalaman pertama saya menyanyi di hadapan Tengku Mahkota dan saya begitu teruja.
“Kita dapat menyanyikan lagu-lagu bersama dengan penonton apabila mereka turut menyanyikan lagu-lagu kami. Memang luar biasa sambutan orang Kelantan,” katanya.
Tambah Black, kali terakhir beliau hadir ke Kelantan ialah untuk program-program tertentu seperti karnival dan jemputan peribadi selepas menyertai program realiti TV pada tahun 2009.
Namun menurutnya, kehadiran kali ini memberikan ‘vibe’ yang berbeza dan menyentuh hati kerana melihat sambutan yang sangat menggalakkan daripada belia Kelantan.
“Saya sangat terharu dengan jemputan ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan Tomok menyanyikan lagu hitnya antaranya Meraung dan Sejarah Mungkin Berulang, manakala Black mempersembahkan lagu Hijab Rindu dan Aku Rindu Sayang Kamu.
Turut membuat persembahan malam itu ialah artis anak jati Kelantan, Azmani Kulit yang mendapat jolokan penyanyi dari Terengganu Allahyarham Saleem Iklim.
Antara lagu yang dinyanyikan beliau ialah Suci Dalam Debu dan Mimpi Yang Pulang. – HARAKAHDAILY 19/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan