Tragedi Putra Height: Tidak adil pampasan diberi secara purata


Tragedi Putra Height: Tidak adil pampasan diberi secara purata
PENDUDUK, Mohmad Johar Misri menunjukkan kesan melecur pada belakang badan dan rumah sewanya yang musnah akibat letupan paip gas di Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Oleh AFIERA ZULAIERA MOHD KHAIRULAZMI
8 Mei 2025, 6:40 am

SUBANG JAYA: “Saya juga mang­sa, tetapi saya rasa proses penilaian kerugian tidak dibuat dengan teliti.”

Demikian luah Mohd Sabri Nordin, 47, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang kecewa dengan jumlah ganti rugi yang ditawarkan susulan kerosakan rumah akibat letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Mohd Sabri berkata, jumlah ganti rugi yang ditawarkan ha­nya sebanyak RM300,000 untuk setiap lot rumah sedangkan dia mempunyai dua rumah sewa yang perlu dibaiki.

“Kerugian yang dialami bukan sahaja melibatkan struktur rumah tetapi juga perabot serta perkakasan elektrik yang turut rosak.

“Dengan jumlah yang ditawarkan, ia benar-benar tidak dapat menampung semua kos pembaikan ini, apatah lagi saya perlu membaiki dua rumah sewa yang menjadi sumber pendapatan saya sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Sabri, pe­ngiraan jumlah ganti rugi yang dilakukan tidak efektif kerana tidak mengambil kira keadaan setiap rumah yang berlainan.

Katanya, rumah-rumah di si­ni mempunyai tahap kerosakan yang tidak sama dan tidak sepatutnya pengiraan dibuat sama rata untuk setiap rumah.

“Rumah saya yang terkesan ini sepatutnya dikategorikan sebagai kerosakan separuh hancur, namun pihak berkuasa menganggap ia hanya kerosakan kecil,” katanya.

Mohd Sabri juga berkata, pihak berwajib telah meminta penduduk menggunakan wang sendiri untuk memulakan pembaikan walaupun pada awalnya dijanjikan bantuan segera.

“Pihak berkuasa menyuruh kami menggunakan wang sendiri untuk kerja-kerja pembaikan sebelum menuntut wang daripada mereka.

“Tidak mengapa jika jumlahnya kecil. Tetapi jika mence­cah berbelas ribu dari mana kami mahu cari duit tersebut?” tambahnya.

Mohd Sabri turut menyatakan bahawa penduduk di kampung itu telah sepakat untuk melantik peguam bagi menuntut ganti rugi. – UTUSAN

Ulasan