
TRS bantu sumbang pencapaian cemerlang SPM
Kelantan
May 5, 2025
KOTA BHARU: Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) membabitkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diteruskan selepas mencatatkan keputusan yang cemerlang itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia menjadi penanda aras bagi pelaksanaan TRS.
Beliau berkata, melihat kepada natijah itu, pihaknya setuju untuk meneruskan lagi aktiviti yang dilaksanakan dalam 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan.
“Melihat kepada sambutan yang luar biasa dan peningkatan prestasi pelajar, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meneruskan program ini pada tahun ini bermula Oktober selama dua bulan.
“Ia diadakan khusus pada hari Jumaat dan Sabtu, dengan jumlah jam pembelajaran yang fleksibel mengikut keperluan dan keselesaan pelajar,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan TRS bagi tahun kedua di pejabatnya yang turut dihadiri Timbalan Exco, Kamaruzaman Mohamad bersama wakil agensi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu menjelaskan, kerjasama agensi negeri diharap dapat memastikan program itu berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum.
Antara agensi terlibat Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Tuisyen Rakyat Sejahtera sebelum ini menjadi agenda empat kerajaan negeri (SG4) yang memberi penekanan pembangunan pendidikan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM477,000 bagi memberi pendidikan secara percuma kepada 1,350 pelajar iaitu 30 pelajar bagi setiap DUN untuk menjalani TRS. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan