Trump beri bayangan akan turunkan tarif China kepada 80 peratus


Trump beri bayangan akan turunkan tarif China kepada 80 peratus

10 Mei 2025 11:43am
Masa membaca: 2 minit

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) bersama Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent (kanan) ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store di Bilik Kabinet, Rumah Putih, Washington DC. -AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat memberi bayangan bahawa beliau bersedia menurunkan tarif ke atas barangan import dari China kepada 80 peratus, menjelang rundingan penting antara pegawai tertinggi kedua-dua negara yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Switzerland.

Langkah itu, meskipun suatu pengurangan ketara daripada kadar 145 peratus sedia ada, masih dianggap tinggi dan berpotensi menghalang dagangan rentas sempadan, menurut pemerhati pasaran.

“80 peratus tarif ke atas China kelihatan sesuai! Terserah kepada Scott B.,” tulis Trump di akaun Truth Social, merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, yang akan mengetuai delegasi negara itu dalam pertemuan tersebut.

Perbincangan itu akan turut disertai oleh wakil tertinggi perdagangan dan keselamatan China dalam usaha memecah kebuntuan yang membelenggu hubungan ekonomi kedua-dua negara sejak Trump memperkenalkan pelbagai tarif baharu ke atas import dari China, Kanada dan Mexico awal tahun ini.

Tarif 80 peratus tersebut jauh lebih tinggi berbanding kadar 10 peratus yang digunakan dalam perjanjian dagangan baharu AS-UK yang diumumkan pada Khamis lalu. Tidak jelas sama ada kadar tersebut hanya bersifat sementara sebagai langkah rundingan atau bakal dijadikan tarif jangka panjang terhadap China.

Menurut Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, matlamat rundingan di Switzerland bukan untuk memuktamadkan perjanjian penuh, tetapi lebih kepada mencari kestabilan jangka pendek yang boleh menjadi asas kepada rundingan yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.

China kekal sebagai penghalang utama dalam usaha Trump menggugat sistem perdagangan global sedia ada. Walaupun tarif terhadap beberapa negara lain telah digantung sejak 9 April lalu, ketegangan antara AS dan China terus meningkat sehingga menyaksikan kedua-dua negara mengenakan cukai melebihi 100 peratus antara satu sama lain.

Dalam perkembangan berkaitan, data perkapalan terkini menunjukkan penurunan mendadak dalam jumlah penghantaran barangan dari China ke AS, menimbulkan kebimbangan tentang potensi kenaikan harga atau kekurangan bekalan barangan tertentu dalam tempoh terdekat.

Pemerhati menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai satu perubahan nada mendadak, kerana beliau sebelum ini menegaskan tidak akan menurunkan tarif hanya semata-mata untuk memujuk China menyertai rundingan.

Ulasan