
Tuan Guru Baqi Othman kembali ke Rahmatullah
Perginya permata negeri Mat Kilau menghadap Penciptanya
May 7, 2025
NEGERI Pahang hari ini kehilangan sebutir permata berharga dalam dunia keilmuan dan perjuangan Islam dengan kembalinya ke rahmatullah Al-Allamah Tuan Guru Mohd Baqi Othman pada pagi tadi, 7 Mei.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan sekitar jam 5 pagi dalam usia 84 tahun, meninggalkan legasi dakwah dan pendidikan Islam yang tiada ternilai.
Tuan Guru Mohd Baqi merupakan figura murabbi ummah yang disegani bukan sahaja di bumi Pahang, malah di seluruh tanah air.
Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di Malaysia.
Ketokohan, kewarakan, dan keistiqamahan beliau dalam mendidik, membimbing dan menyampaikan risalah Islam kekal menjadi sumber inspirasi kepada generasi pewaris perjuangan.
Latar belakang dan pendidikan
Dilahirkan pada 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor, Pahang, Almarhum memulakan pendidikan awal di kampung sebelum menyambung pengajian agama di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan selama sepuluh tahun sejak tahun 1958.
Di sana, beliau berguru dengan ulama tersohor seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Lubuk Tapah.
Pada tahun 1969, beliau berhijrah ke kota suci Makkah untuk menuntut ilmu di Madrasah Darul Ulum selama enam tahun.
Di sana, beliau menimba ilmu daripada tokoh-tokoh besar seperti Syeikh Daud Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Muhammad Alwi al-Makki dan Syeikh Hassan Masyath.
Ilmu yang diperoleh menjadikan beliau antara ulama tersohor yang teguh menyampaikan dakwah berdasarkan manhaj salafussoleh.
Pondok dan perjuangan
Sepulangnya ke tanah air, beliau tidak berlengah untuk mengembangkan ilmu.
Beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Sungai Gau, Temerloh, yang menjadi tempat lahirnya Air Gau satu sumber mata air yang kemudiannya menjadi lagenda kerana keistimewaannya menyerupai air zam-zam dari segi kandungan mineral dan ketulenannya.
Kisah bermulanya Air Gau adalah manifestasi tawakkal dan keyakinan beliau kepada Allah.
Pada tahun 1991, setelah melakukan solat hajat kerana ketiadaan bekalan air di pondok, beliau bermimpi seseorang menunjukkan tempat untuk menggali telaga.
Hasilnya, mata air yang ditemui bukan sahaja menyelesaikan masalah air untuk pondok tersebut, malah menjadi sumber air yang digunakan oleh masyarakat setempat dan seluruh negara.
Ujian makmal oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kemudian mengesahkan bahawa air ini kaya dengan garam galian (TDS 284mg/l) dan pH beralkali (7.9), menjadikannya satu-satunya air bermineral tinggi di Malaysia.
Tuan Guru juga membuka sebuah lagi pondok pengajian yang dikenali sebagai Madrasah Saadah al-Daraini di Kampung Lanting, Chenor.
Kedua-dua institusi ini menjadi medan penyebaran ilmu dan pemurnian akidah umat.
Sumbangan dalam siasah
Dalam medan perjuangan politik Islam, Almarhum cukup aktif menyumbang tenaga dalam PAS.
Beliau pernah menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Pahang (1994–2001), Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran (1991–2013).
Beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor sebanyak tiga kali, menjadikan perjuangan siasah beliau bukan sekadar di atas kertas, tetapi dengan keberanian yang nyata.
Atas jasa dan keistiqamahan beliau dalam perjuangan, Tuan Guru telah dianugerahkan Tokoh Ulamak Istiqamah PAS pada Muktamar PAS ke-65 satu pengiktirafan yang cukup layak bagi seorang ulama mujahid sepertinya.
Warisan rohani dan duniawi
Keperibadian Almarhum dikenang sebagai sangat tawaduk, zuhud dan wara’.
Beliau tidak pernah mencari kemewahan dunia, sebaliknya mewakafkan seluruh hidupnya untuk umat.
Kata-kata beliau lembut, namun tegas dengan prinsip, kehadirannya dalam majlis-majlis ilmu memberi ketenangan, seolah-olah membawa bersama keberkatan dari langit.
Anaknya, Ustaz Abdul Mujib, kini meneruskan legasi menjaga kilang Air Gau yang setiap hari mengepam lebih 12,000 liter air untuk kegunaan masyarakat.
Air ini tidak pernah kering, malah terus melimpah seolah-olah menjadi saksi atas keberkatan doa dan usaha Tuan Guru dahulu.
Nama beliau akan terus disebut dalam majlis ilmu, air matanya terus mengalir dalam telaga Gau, dan amal jariahnya akan terus mengalir walau jasadnya telah kembali ke tanah.
Moga Allah mengampuni dosa-dosa beliau, menerima segala amalnya, dan menempatkan rohnya di syurga Firdaus bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin.
اللهم اغفر له وارحمه، وعافه واعف عنه، وأكرم نزله، ووسع مدخله، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس. – HARAKAHDAILY 7/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan