
Umum pelaburan berbilion, rakyat hilang subsidi
May 2, 2025
DI SEBALIK bangga dengan kononnya berjaya menarik pelaburan luar bernilai berbilion ringgit, kerajaan seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menamatkan subsidi telur ayam secara berfasa bermula pada 1 Mei lalu. Ia melibatkan penarikan 50 peratus dari subsidi ketika ini, dan menamatkannya secara total pada 1 Ogos akan datang.
Ini mendedahkan sikap kerajaan yang tidak menjaga kebajikan rakyat bawahan sedangkan ramai masih bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menekan hidup seharian. Sudah pasti, ia akan membawa kepada kenaikan harga telur sekitar 2 hingga 6 sen sebiji, atau antara 60 sen hingga RM1.80 sepapan, bergantung kepada lokasi. Paling merisaukan, kenaikan harga ini akan menjadi lebih tinggi selepas ini ekoran rancangan kerajaan yang akan menamatkan subsidi RON95 seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Penamatan subsidi telur ayam ini menandakan satu perubahan besar dalam dasar penyasaran subsidi makanan asas di Malaysia. Seperti kelaziman, alasan-alasan yang menjadi asas kepada tindakan ini diberi oleh kerajaan demi menenangkan kerajaan seperti melaksanakan penyasaran semula subsidi agar lebih telus, berkesan, dan mengurangkan ketirisan perbelanjaan negara, semestinya langkah kerajaan ini memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat terutamanya dalam konteks ekonomi rakyat marhaen.
Penarikan subsidi: Kesan berganda kepada kos sara hidup
Tidak dapat dinafikan, sumber protein yang termurah dan paling mudah diakses oleh rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat terutamanya keluarga B40 dan M40, adalah telur. Penarikan subsidi telur, walaupun kelihatan kecil pada unit, tetapi secara signifikan apabila diambil kira dalam jumlah penggunaan isi rumah bulanan, pastinya ia adalah satu jumlah yang besar.
Langkah kerajaan ini berlaku pada masa suasana ekonomi yang tidak ketentuan akibat dari krisis global. Golongan pekerja tidak tetap dan formal, ibu tunggal, serta warga emas yang hidup sendiri akan paling terkesan dengan kenaikan harga makanan asas, termasuk telur.
Jika dihitung, sebuah keluarga B40 yang menggunakan 90 biji telur sebulan, peningkatan 6 sen setiap biji bermakna tambahan mereka perlu menambah perbelanjaan sebanyak RM5.40 sebulan. Peningkatan RM5 ke RM10 dalam kos barangan asas memberi kesan berganda terhadap golongan berpendapatan rendah, terutama apabila kenaikan itu bukan berlaku dalam satu barangan sahaja.
Hal ini kerana, telur bukan sahaja dimakan secara langsung, tetapi juga digunakan secara meluas dalam pelbagai cabang dalam sektor makanan dan peruncitan, bermula dari kedai makan, penjual kuih-muih hinggalah kepada pengusaha restoran.
Adalah dijangkakan dengan peningkatan harga telur, ia pastinya akan menyebabkan harga makanan lain turut meningkat secara tidak langsung, seterusnya mencetuskan inflasi runcit dalam sektor makanan dan minuman.
Apa yang harus kerajaan lakukan?
Walaupun kerajaan memperkenalkan beberapa mekanisme intervensi untuk meredakan kegelisahan, seperti memperkenalkan telur gred khas pada harga terkawal, penganjuran program Jualan Agromadani serta pengedaran melalui outlet FAMA, namun keberkesanan langkah ini masih lagi menjadi satu perkara yang tidak pasti.
Hal ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor seperti liputan lokasi dan geografi, logistik dan bekalan malahan yang paling penting mekanisma penguatkuasaan harga. Sudah tentu, akses antara kawasan pedalaman dan luar bandar serta bandar sangat berbeza. Tidak semua tempat memiliki outlet FAMA atau mampu menganjurkan jualan murah seperti Jualan Agromadani secara berkala.
Malahan lokasi geografi juga menyebabkan penguatkuasaan serta pemantauan harga menjadi kurang efisien yang akhirnya membuka ruang kepada peniaga mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga.
Kerajaan boleh mengelakkan impak yang lebih besar kepada masalah ini dengan menilai sistem sokongan pengeluaran domestik – seperti memberi bantuan khas kepada penternak kecil dan mikro, agar mereka dapat menstabilkan bekalan tanpa perlu memindahkan kos sepenuhnya kepada pengguna.
Selain itu, kerajaan sebagai langkah jangka pendek perlu memastikan intervensi yang diumumkannya benar-benar sampai kepada golongan sasar dan tidak membiarkan pasaran bergerak bebas tanpa pemantauan. Manakala dalam jangka masa panjang pula, kerajaan perlu mengutamakan reformasi pendapatan dan pengeluaran sebelum mengarahkan tindakannya kepada reformasi subsidi.
Ia agar rakyat bukan hanya mampu membeli, tetapi mampu hidup selesa tanpa bergantung kepada bantuan sepanjang masa.
Kesimpulan
Walaupun pelbagai justifikasi yang diberi kerajaan bagi menenangkan kegelisahan rakyat dalam isu ini, persoalannya adalah adakah langkah ini merupakan jalan penyelesaian kepada bebanan kerajaan atau ia adalah permulaan tekanan baru kepada rakyat?
Hanya masa akan menjawab, bergantung sejauh mana kecekapan pelaksanaan dasar dan kepekaan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat. Di mana kecaknaan kerajaan menjaga kebajikan rakyat apabila subsidi ditamatkan ketika kerajaan giat membawa imej berjaya menarik pelaburan asing bernilai berbilion ringgit?
DATO’ SRI USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian – HARAKAHDAILY 2/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan