Baru-baru ini, Sabah menjadi tumpuan apabila beberapa mahasiswa UMS dalam himpunan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Tujuan mereka jelas: tunjuk rasa terhadap kegagalan kerajaan ‘Madani’ tangani isu rasuah di Sabah, isu yang selama ini membelenggu negeri itu.
Biarpun aksi mereka agak radikal, semangatnya tetap berlandaskan kebebasan bersuara. Asalkan tidak melanggar undang-undang dan menghormati adab, mahasiswa telah sedia menyertai budaya demokrasi yang sihat. Menghina pemimpin itu satu perkara tetapi bersuara menuntut reformasi adalah tindakan yang sepatutnya bukan sesuatu yang dijadikan kesalahan jenayah.
Mahasiswa mendakwa tindakan begitu bertujuan mengkritik hipokrasi: kata-kata tentang integriti, tapi tiada tindakan tegas terhadap rasuah Sabah. Sebagai rakyat biasa, saya lihat mereka memegang peranan sebagai “crowd‑whistleblower” untuk ingatkan pemerintah supaya jangan alpa. Menahan mereka tanpa analisa, tanpa dialog hanya akan tunjukkan kita takut akan suara anak muda. Lebih baik kita beri ruang mereka.
Saya bukan sokong sebarang bentuk himpunan sehingga hilang kawalan. Jika seseorang membakar gambar itu sambil menjerit lucah, itu telah keluar garisan adab. Namun, setakat menyalakan api pada sehelai kertas karikatur dalam himpunan aman, itu bukan satu jenayah berat. Polis telah terima notis aman, himpunan disertai mahasiswa, parti politik Sabah dan berakhir aman. Tiada unsur kekerasan atau hasutan melampau tetapi sehingga ada tangkapan, saya melihat ianya agak keterlaluan.
Kalau kita hantar pegawai penyiasat, ambil keterangan dan kaji seberapa serius isu undang-undang, itu boleh difahami. Tapi sekiranya mahasiswa terus ditahan atas semangat demokrasi semata-mata, saya rasa itu akan jauh rosakkan hubungan antara rakyat dan kerajaan. Jangan sampai rebahnya kebebasan akademik diinstitusi tinggi.
Mahasiswa berhak bersuara selagi patuh undang-undang dan adab masyarakat. Kerana bagi saya, negara kita memerlukan lebih ruang kebebasan, bukan takut pada suara anak muda. Kebebasan dibayar dengan hormat, tanggungjawab dan dialog jujur. Jangan biarkan satu karikatur dan beberapa nyalaan api jadi alasan untuk sekat suara yang selama ini mahu perubahan.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan