MALAYSIA MADANI: KE ARAH MANA SEBENARNYA MALAYSIA MADANI SEDANG DIPACU?



MALAYSIA MADANI: KE ARAH MANA SEBENARNYA MALAYSIA MADANI SEDANG DIPACU?

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Alhamdulillah, pagi ini saya selesai membaca penulisan terkini Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) bertajuk “Malaysia, kearah mana madaninya? Bahan ilmiah ini adalah yang ke-36 ditulis dan diterbitkan oleh TGHH pada tahun ini. https://harakahdaily.net/2025/06/malaysia-ke-arah-mana-madaninya/

Disebabkan kerajaan pimpinan PMX memperkenalkan “Malaysia Madani” maka semakin kerap menjadi sebutan sejak kebelakangan ini kerana dijadikan sebagai slogan rasmi pentadbiran negara. Namun begitu, persoalan yang timbul adalah sejauh manakah slogan ini benar-benar mencerminkan makna sebenar "madani" yang difahami dari perspektif Islam dan sejarah peradaban manusia?

Dalam tulisan terbaru Presiden PAS ini, TGHH mengajak kita menyelami maksud sebenar madani menurut kaca mata Islam. TGHH merujuk kepada tokoh sejarawan dan pemikir Islam terkemuka, Ibn Khaldun yang menyatakan bahawa manusia itu secara tabi‘i bersifat madani iaitu makhluk yang tidak mampu hidup bersendirian, sebaliknya memerlukan masyarakat untuk bekerjasama, berilmu dan bertamadun.

TGHH mengingatkan bahawa masyarakat madani yang tidak dipandu oleh hidayah akan tergelincir daripada landasan yang benar. Tanpa petunjuk daripada Allah SWT, kemajuan madani akhirnya nanti hanya akan membawa kepada kezaliman, penindasan dan kemusnahan. Sejarah menunjukkan bagaimana tamadun-tamadun hebat seperti Firaun, ‘Ad dan Thamud dimusnahkan kerana mereka membina tamadun berasaskan nafsu dan ilmu tanpa sempadan wahyu.

Sebaliknya, konsep madani yang sebenar ialah apabila pembangunan tamadun dipandu oleh nilai-nilai Islam sebagai al-din, iaitu cara hidup yang menyeluruh. Islam bukan sekadar agama ritual tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuk pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan keadilan sosial. Madani dalam kerangka Islam bermakna membina peradaban yang adil, berilmu, berakhlak dan bertaqwa.

TGHH juga menegaskan bahawa slogan "Malaysia Madani" yang dicanangkan pada hari ini dilihat semakin menyimpang daripada panduan tersebut. Ia hanya menjadi alat politik, bersifat sempit dan kosong dari pengisian nilai Islam yang sebenar. Malah, konsep ini seolah-olah menjadikan rakyat seperti "katak di bawah tempurung", terperangkap dalam kerangka pemikiran tempatan yang sempit tanpa merujuk kepada sejarah panjang tamadun manusia dan panduan wahyu.

Konsep masyarakat madani sudahpun wujud sejak zaman Nabi Adam AS. Allah SWT telah mengajar Nabi Adam ilmu dunia dan ilmu wahyu, menjadikan Baginda manusia pertama yang membina asas kehidupan bermasyarakat berpandukan panduan Ilahi. Begitu juga Rasulullah SAW, yang membina masyarakat madani di Madinah dengan asas iman, perpaduan dan keadilan yang kemudiannya menjadi model pentadbiran Islam yang unggul untuk masyarakat majmuk.

Lebih menarik, TGHH menekankan bahawa keadilan dalam Islam bukan hanya untuk umat Islam, tetapi juga untuk orang bukan Islam dalam masyarakat majmuk. Prinsip keadilan ini ditegaskan dalam al-Quran dan termaktub dalam Sahifah Madinah iaitu perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah yang mengiktiraf hak semua pihak di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Apabila Islam menjadi kuasa besar dunia pada zaman kegemilangan tamadun Islam, ilmu dari pelbagai bangsa digabungkan dan ditapis dengan panduan wahyu. Hasilnya, lahirlah tamadun yang benar-benar madani iaitu berilmu, berakhlak dan berkeadilan.

Sebaliknya, tamadun Barat dan Timur hari ini sedang menampakkan tanda-tanda keruntuhan kerana mereka membina peradaban tanpa menerima Islam sebagai petunjuk. Tamadun moden kini semakin terhakis nilai, penuh dengan krisis moral, kemusnahan alam dan ketidakadilan sosial.

Maka jelaslah bahawa madani bukan sekadar sebuah slogan atau istilah popular yang bersifat kosmetik. Madani yang sebenar hanya dapat dicapai apabila Islam dijadikan teras pemerintahan dan panduan dalam segala aspek kehidupan. Tanpa kembali kepada al-din, semua usaha untuk membina masyarakat madani hanyalah ilusi dan akan membawa kepada nasib yang sama seperti tamadun-tamadun yang telah musnah.

Justeru, persoalan yang perlu kita renungkan bersama ialah: Ke arah mana sebenarnya Malaysia Madani sedang dipacu?

KFAK

Ulasan