MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN KLUANG : MENITI 42 TAHUN PERJUANGAN, BERSEDIA MENGHADAPI PRU16
1. Malam Jumaat 27 Jun 2025 menjadi saksi semangat perjuangan Islam yang masih membara di Kluang apabila PAS Kawasan Kluang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-42. Bukan majlis biasa-biasa, ia penuh dengan rasa syukur, kenangan sejarah dan seruan strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin dekat.
2. Yang paling mencuri perhatian sudah tentu kehadiran Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang datang merasmikan majlis ini. Dalam ucapannya, beliau membawa para hadirin menyelami semula sejarah penetapan tahun Hijrah, sesuatu yang sering kita ambil ringan tetapi besar maknanya dalam tamadun Islam.
3. Katanya, bukan mudah para sahabat Nabi nak tentukan bila bermulanya takwim Islam. Ada yang cadang ikut tarikh lahir Nabi, ada pula yang cadang ikut tarikh turunnya wahyu. Tapi akhirnya Saidina Umar cadang supaya peristiwa hijrah ke Madinah dijadikan titik permulaan dan itulah yang diterima.
4. Beliau turut menyentuh tentang tiga peristiwa besar dalam sejarah Islam yang menunjukkan siapa sahabat-sahabat Nabi yang paling utama: hijrah, perang Badar, dan Perjanjian Hudaibiyah. “Itulah tanda pengorbanan dan istiqamah,” kata beliau.
5. Menyentuh tentang politik semasa, Dato’ Seri Tuan Ibrahim tidak berselindung. Beliau menyebut bahawa PAS pernah disekat daripada berkembang di Johor ketika bersama Barisan Nasional dahulu. Ada cadangan supaya PAS dibubarkan saja dan semuanya masuk UMNO. Tapi PAS tetap bertahan dan kini menjadi salah satu kuasa utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
6. Beliau turut memberi amaran bahawa PRU16 mungkin berlaku lebih awal daripada yang dijangka, mungkin seawal 2027. Katanya, faktor ekonomi yang makin menghimpit rakyat dan pembubaran DUN Melaka yang dijangka tahun depan menjadi antara petanda jelas.
7. Dalam menghadapi gelombang politik yang makin mencabar, beliau menyeru agar ahli PAS dan jentera parti memperkuatkan amalan fardhi dan spiritual.
“Jaga tahajud, dhuha, sedekah dan jangan tinggal membaca al-Quran,” pesannya.
8. Beliau turut menjangka fitnah melalui AI akan menjadi lebih ganas menjelang PRU16, maka kekuatan iman sangat penting.
9. Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Tuan Haji Mohd Nor bin Mohamad pula tampil penuh semangat membuka majlis. Katanya, 42 tahun bukan usia yang singkat. Ia adalah tanda kematangan sebuah gerakan yang lahir dari pengorbanan dan amanah kepimpinan terdahulu. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir, juga kepada rakan-rakan parti komponen seperti BERSATU dan GERAKAN yang turut memeriahkan majlis.
10. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ramai tokoh PAS negeri termasuk, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Ketua Penerangan PAS Johor, Ustaz Abu Irfan Mohamad, YDP PAS Kawasan Ayer Hitam, Simpang Renggam dan Semberong, wakil dari BERSATU dan GERAKAN Parlimen Kluang.
11. Suasana malam itu bukan sekadar majlis mesyuarat. Ia adalah penyuntik semangat, tanda kekuatan yang terus mengakar dan persiapan serius untuk menghadapi medan PRU yang penuh cabaran. Dari Kluang, gelombang perubahan sedang disusun dengan keyakinan bahawa kemenangan bukan sekadar di kertas undi, tetapi di hati dan amal para pejuang.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Dewan Lamanara, Taman Idaman, Kluang
27 Jun 2025
Ulasan
Catat Ulasan