PERLIS BAKAL MENJADI DESTINASI PENUH MAKNA BAGI SUKARELAWAN KHIDMAT MALAYSIA





PERLIS BAKAL MENJADI DESTINASI PENUH MAKNA BAGI SUKARELAWAN KHIDMAT MALAYSIA

Tahun ini, takdir membawa ratusan sukarelawan Khidmat Malaysia ke negeri kecil yang penuh pesona iaitu negeri Perlis. Dari utara Semenanjung yang biasanya tenang, Perlis kini menjadi nadi bagi satu perhimpunan besar yang cukup bermakna iaitu Himpunan Sukarelawan Khidmat Malaysia Kali Keenam (HEBAT 6.0)

Pada asalnya, program besar ini yang dikenali sebagai HEBAT 6.0 dijadualkan berlangsung di bumi Sabah. Ramai sukarelawan sudah memasang niat untuk merentasi Laut China Selatan, membina pengalaman di tanah Borneo. Namun, atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk kekangan logistik dan cabaran teknikal maka keputusan penting terpaksa diambil: lokasi dipindahkan. Lebih terharu apabila negeri Perlis bersedia menjadi galang ganti sebagai tuan rumah walaupun notisnya terlalu singkat untuk menjadi tuan rumah pada bulan Ogos ini.

Bagi sebahagian orang, mungkin ia sekadar perubahan lokasi. Tetapi bagi para sukarelawan, setiap himpunan ini bukan sekadar pertemuan jasad tetapi ia adalah pertemuan jiwa. Menariknya, Perlis pula tahun ini menyambut Tahun Melawat Perlis 2025. Maka kedatangan para sukarelawan disambut dengan lebih daripada sekadar senyuman, mereka pasti akan dialu-alukan dengan kehangatan negeri yang sedang membuka pintu kepada seluruh Malaysia.

Jika kita mengimbas kembali, HEBAT 5.0 pada tahun lalu berlangsung meriah di Pulau Jeha, Chenor, Pahang, sebuah lokasi latihan yang mencabar fizikal dan mental. Bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos 2024, ia menguji daya tahan, mempertemukan pengalaman lama dengan semangat baru, dan menyatukan tenaga seluruh negara dalam satu misi: kesiapsiagaan bencana.

Kini, setahun berlalu, para petugas kembali lagi dan kali ini dengan harapan yang lebih besar. Mereka bukan sahaja datang untuk berlatih, tetapi juga untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan, menyegarkan tekad dan memperbaharui iltizam dalam berbakti kepada masyarakat.

Negeri Perlis bakal bergema dengan semangat para sukarelawan yang hadir dari segenap penjuru tanah air, mereka berkumpul semuanya menyarung pakaian Khidmat Malaysia dengan satu tujuan: bersedia sebelum musibah tiba.

Dalam keriuhan latihan serta taklimat, terselit kisah-kisah kecil yang menyentuh hati. Ada yang pertama kali hadir, mungkin akan rasa gugup tetapi tetap bersemangat. Ada pula yang sudah hadir sejak HEBAT pertama dan kembali dengan semangat sesegar mentari pagi. Setiap wajah menyimpan cerita, setiap tangan yang dihulur membawa harapan.

Begitulah HEBAT 6.0, bukan sekadar program tahunan, tetapi medan penyatuan, latihan kehidupan dan lautan pengalaman. Negeri Perlis, yang mungkin kecil pada peta tetapi kini besar maknanya dalam sejarah Khidmat Malaysia.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
16 Jun 2025



Ulasan