KENYATAAN RASMI KHIDMAT MALAYSIA




KENYATAAN RASMI KHIDMAT MALAYSIA

Situasi Indeks Pencemaran Udara pada tahap berjaga-jaga: Khidmat Malaysia Seru Rakyat Malaysia waspada dan patuhi saranan pihak berkuasa.

Tarikh: 20 Julai 2025

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 19 Julai 2025 telah mengesahkan bahawa sebanyak 79 titik panas telah dikesan di wilayah Sumatera, Indonesia. Analisis satelit turut menunjukkan asap rentas sempadan telah mula memasuki ruang udara di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memaklumkan terdapat beberapa insiden pembakaran terbuka di kawasan tempatan yang telah menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU. Operasi pemantauan telah digiatkan melalui rondaan harian di kawasan berisiko tinggi seperti ladang dan belukar, dan tindakan undang-undang sedang diambil ke atas pihak yang terlibat.

Khidmat Malaysia mengambil maklum dan memandang serius peningkatan mendadak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negara ini, khususnya dalam tempoh 48 jam kebelakangan ini. Menurut laporan JAS lagi, beberapa kawasan telah mencatatkan bacaan IPU pada paras tidak sihat, termasuk Port Dickson, Negeri Sembilan – 162, Klang, Selangor – 145, Johor Bahru, Johor – 130 dan Kuching, Sarawak – 120

Punca utama peningkatan ini telah dikenal pasti akibat pergerakan asap jerebu merentas sempadan dari wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, selain aktiviti pembakaran terbuka di dalam negara serta keadaan cuaca kering tanpa hujan.

Justeru, Khidmat Malaysia ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar tidak memandang ringan keadaan ini kerana jerebu memberi kesan serius kepada kesihatan, terutamanya kepada Kanak-kanak, Warga emas, Ibu mengandung dan juga Penghidap penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis dan lain-lain.

Sebagai langkayh berjaga-jaga, Khidmat Malaysia menyeru kepada seluruh warga agar dapat menghadkan aktiviti luar rumah, terutamanya aktiviti fizikal dan riadah di tempat terbuka. Selain itu, Khidmat Malaysia juga mencadangkan agar kita semua dapat mengambil langkah sebagaimana berikut:

• Pakai pelitup muka jenis N95 jika perlu berada di luar rumah.

• Pastikan rumah tertutup rapat dan guna penapis udara jika ada.

• Minum air secukupnya untuk membantu sistem badan menyingkirkan toksin.

• Elakkan pembakaran terbuka – laporkan segera kepada pihak berkuasa jika mengesan aktiviti sedemikian.

• Pantau bacaan IPU terkini melalui laman web rasmi APIMS – JAS atau aplikasi mudah alih berkaitan.

• Golongan berisiko tinggi dinasihatkan berada di dalam rumah sepanjang masa.

Bagi memastikan ruang udara negara ini kembali kepada bacaan IPU yang normal, dengan sukacitanya Khidmat Malaysia mengingatkan seluruh rakyat agar:

• Bersikap tanggungjawab bersama dalam menjaga persekitaran,

• Tidak menyebar maklumat palsu berkaitan jerebu yang boleh menimbulkan panik,

• Mengutamakan kesihatan diri dan keluarga, serta

• Mendoakan agar situasi ini segera pulih dengan turunnya hujan dan usaha mitigasi yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Bilik Gerakan Info Bencana Khidmat Malaysia akan sentiasa memantau perkembangan terkini dan Sebarang maklumat lanjut atau bantuan bencana boleh dirujuk melalui Sekretariat Khidmat Malaysia atau rangkaian agensi di setiap negeri.

Sekian, terima kasih

“Beramal kerana Allah, Berkhidmat untuk Kemanusiaan”

Dikeluarkan oleh:

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
Tarikh: 20 Julai 2025
Email: khidmatmalaysia@gmail.com
website: www.khidmatmalaysia.net

Ulasan