KOMENTAR : ANTARA PRINSIP DAN TEKANAN: ANWAR IBRAHIM, BANTUAN TUNAI DAN GERAKAN #TURUNANWAR
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pada 23 Julai 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dalam satu pengumuman khas yang sarat dengan pengumuman populis: bantuan tunai RM100 kepada setiap warganegara dewasa, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, pembekuan kenaikan tol, cuti umum tambahan dan penstrukturan tarif elektrik. Bagi sesetengah pihak, ini adalah tindakan seorang pemimpin prihatin. Namun bagi yang lain terutama mereka yang masih ingat prinsip Anwar sebelum ini, ia kelihatan seperti satu penarikan semula janji idealisme reformasi.
U-turn Seorang Reformis?
Anwar Ibrahim sejak dahulu lantang mengkritik pendekatan “cash is king”, satu dasar yang menurutnya hanya menjerumuskan rakyat ke dalam budaya kebergantungan dan demokrasi yang tidak matang. Beliau menolak idea memberi wang tunai secara terus kerana percaya bahawa ia menjadikan rakyat sebagai alat politik dan bukan sebagai warganegara yang berdaya saing dan merdeka.
Namun, bantuan RM100 kepada semua dewasa tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi jelas bercanggah dengan falsafah asal beliau sendiri. Ia kelihatan seperti satu bentuk pembelian simpati secara langsung, lebih-lebih lagi apabila rakyat tidak diminta untuk bekerja atau menyumbang kepada pembangunan dalam apa jua bentuk. Maka, pertentangan antara prinsip dan pelaksanaan semakin jelas.
Tekanan Politik & Realiti Pemerintahan
Dalam menilai tindakan ini, kita tidak boleh mengetepikan tekanan politik yang kian meningkat terhadap pentadbiran Anwar. Antaranya:
- Kos sara hidup yang terus menekan rakyat walaupun statistik ekonomi negara menunjukkan angka yang positif.
- Desakan akar umbi dan komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang menginginkan langkah popular untuk mempertahankan sokongan.
- Namun yang paling signifikan, kemunculan gerakan #TurunAnwar, satu gerakan yang lahir bukan dari kelompok pembangkang ekstrem, tetapi daripada anak muda, mahasiswa dan rakyat biasa yang pernah menjadi penyokong reformasi.
#TurunAnwar mencerminkan kekecewaan yang tulen terhadap jurang antara ucapan reformasi dan tindakan realiti. Dalam konteks ini, tindakan populis yang diumumkan oleh PM boleh dianggap sebagai langkah responsif untuk meredakan gelombang keresahan rakyat. Ia adalah bentuk “damage control” yang dilakukan dalam masa singkat untuk mengembalikan sokongan, terutamanya daripada pengundi muda dan kelas pekerja yang kian skeptikal.
Isu Pampasan Tol: Dulu Kecam, Kini Diam?
Satu lagi isu yang menarik perhatian ialah pengumuman kerajaan membayar pampasan RM500 juta kepada syarikat konsesi tol, bagi mengekalkan kadar tol sedia ada sepanjang tahun 2025.
Apa yang menarik, langkah ini bukan perkara baharu. Pampasan tol telah diaplikasikan secara sistematik sejak 2004, bukan fenomena baharu yang membuat rakyat teruja. Ia menjadi amalan berterusan semata-mata agar tol tidak dinaikkan apabila kadar kontrak asal menghendaki kenaikan. Lebih menarik, pendekatan ini dikritik hebat ketika PH berada dalam pembangkang namun dibiarkan berlaku atau senyap ketika PH atau pemimpin seperti Anwar kini berkuasa. Konflik dalam retorik politik dan amalan ekonomi kini semakin ketara.
Anwar Ibrahim tentunya masih ingat semasa era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, kerajaan membayar pampasan setiap tahun kepada syarikat tol selama lapan daripada sembilan tahun pentadbirannya, supaya kadar tol tidak dinaikkan. Namun pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika itu mengkritik keras langkah tersebut, menyifatkannya sebagai mengkayakan kroni, sebagai gula-gula politik untuk Pilihan Raya termasuklah PRK Kajang dan mendakwa ia tidak menyelesaikan isu struktural lebuh raya.
Kini, apabila PMX mengumumkan perkara yang sama, malah lebih besar (RM500 juta) sebagai satu “hadiah” kepada rakyat, tiada satu pun suara dari PH yang tampil mengkritik sebagaimana dahulu malah memuji langkah ‘luar biasa’ PMX.
Politik Dua Wajah?
Perbandingan ini menunjukkan bagaimana prinsip politik boleh berubah mengikut siapa yang berkuasa. Dulu, pampasan RM400 juta dikutuk kerana dianggap menguntungkan kroni, kini RM500 juta dipuji kerana menjaga rakyat. Dulu bantuan tunai dianggap melemahkan demokrasi, kini dijulang sebagai penghargaan luar biasa.
Rakyat tidak bodoh. Mereka menilai bukan hanya pada apa yang diumumkan, tetapi juga pada konsistensi dan kejujuran prinsip. Mereka sudah muak dengan pendekatan politik dua wajah, satu ketika menjadi pembangkang penuh idealisme, ketika berkuasa menjadi pemerintah penuh alasan.
Kesimpulan: Reformasi atau Retorik?
Pengumuman terbaru Anwar Ibrahim mestilah dilihat sebagai cerminan bahawa kuasa politik sentiasa diuji antara idealisme dan realiti. Ketika tekanan meningkat, ujian sebenar seorang pemimpin reformis bukan pada retorik semata-mata, tetapi pada keberaniannya untuk kekal teguh pada prinsip walaupun dibenci, daripada menjadi popular dengan menggadaikan nilai perjuangan.
Ingatlah bahawa Reformasi bukan sekadar slogan. Ia adalah perjuangan berterusan untuk kebenaran, walau dalam tekanan. Maka apabila seorang reformis mula menggadaikan prinsip demi sokongan sementara, maka rakyatlah yang harus menentukan sempadannya.
Kerana itulah, gerakan rakyat #TurunAnwar mestilah diteruskan pada 26 Julai ini kerana tindakan populis PMX ini hanyalah gula-gula politik menjelang PRU dan untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan