KOMUNIKASI BERKESAN: NADI PENGURUSAN ORGANISASI YANG CEMERLANG



KOMUNIKASI BERKESAN: NADI PENGURUSAN ORGANISASI YANG CEMERLANG

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Pengenalan

Komunikasi dalam organisasi bukanlah sekadar proses pertukaran maklumat, malah merupakan nadi kepada kesinambungan, keberkesanan dan kejayaan sesebuah entiti. Sama ada dalam organisasi korporat, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik seperti PAS, komunikasi yang berkesan adalah kunci kepada penyusunan strategi, pelaksanaan perancangan, pengukuhan semangat pasukan dan penyampaian maklumat yang tepat serta jelas kepada semua peringkat.

Tanpa komunikasi yang baik, organisasi akan berdepan dengan risiko kecelaruan, konflik dalaman, salah faham dan keretakan hubungan sesama anggota. Justeru, komunikasi dalam organisasi bukan sahaja soal menyampaikan mesej tetapi turut menyentuh aspek membina kepercayaan, persefahaman dan kesepaduan.

Komunikasi dalam Konteks Pengurusan

Pengurusan yang berkesan memerlukan komunikasi yang jelas, konsisten dan bersifat dua hala. Proses komunikasi dalam organisasi adalah lebih kompleks kerana melibatkan pelbagai tahap hierarki, fungsi dan emosi manusia yang berbeza. Sebagaimana dijelaskan dalam kajian Harcourt, Kriza dan Merrier (1996), pengurus menghabiskan 95% masa mereka untuk berkomunikasi manakala kakitangan bawahan pula menggunakan 60% masa kerja mereka untuk berinteraksi dalam pelbagai bentuk komunikasi.

Kelemahan komunikasi akan melahirkan suasana kerja yang tidak harmoni. Contohnya, jika pihak atasan tidak menyalurkan maklumat dengan tepat atau mengabaikan maklum balas daripada bawah, maka keputusan yang dibuat mungkin tidak relevan atau gagal mencapai objektif. Dalam konteks PAS, penyelarasan antara PAS Pusat hingga ke peringkat cawangan amat bergantung kepada keberkesanan komunikasi dalaman.

Islam dan Komunikasi Berhikmah

Al-Quran sendiri menekankan keperluan komunikasi yang baik dan berhemah. Dalam Surah al-Nahl ayat 125, Allah berfirman:

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.”

Islam menggariskan komunikasi sebagai satu amanah yang perlu disampaikan dengan hikmah, hujah dan kebenaran. Ia juga menekankan sensitiviti terhadap khalayak bahawa tidak semua manusia memiliki latar belakang dan tahap ilmu yang sama. Maka, gaya komunikasi harus disesuaikan mengikut konteks dan audien.

Tujuan dan Fungsi Komunikasi dalam Organisasi

Antara fungsi utama komunikasi dalam organisasi ialah:
  1. Melancarkan perancangan dan penyampaian matlamat. Semua elemen proses pengurusan seperti merancang, mengarah, mengawal dan menyelia bergantung kepada aliran komunikasi yang berkesan.
  2. Menyalurkan maklumat yang benar dan tepat pada masa. Maklumat yang tidak sahih atau terlewat boleh menyebabkan organisasi menyimpang daripada sasaran asal.
  3. Membina kesepaduan organisasi. Komunikasi yang kabur menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan solidariti dalaman.
  4. Mengawal tingkah laku organisasi. Melalui pekeliling, memo dan prosedur, komunikasi menjadi alat kawalan yang penting.
  5. Menyelesaikan konflik. Dialog, mesyuarat dan perbincangan berfungsi meredakan ketegangan serta mencari titik persamaan.
Jenis-Jenis Komunikasi: Lisan dan Bukan Lisan

Menurut buku Komunikasi untuk Pemimpin oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan dan Dr. Ainon Mohd., komunikasi terbahagi kepada dua iaitu:
  1. Komunikasi Lisan: Ceramah, mesyuarat, temuramah dan ucapan.
  2. Komunikasi Bukan Lisan: Bahasa tubuh, nada suara, ekspresi wajah, gerak geri, gaya berpakaian dan simbol.
Contoh terbaik komunikasi bukan lisan dalam sejarah Islam adalah daripada hadis Ibnu Abbas yang menyebut bahawa Rasulullah SAW melukis garisan di atas tanah untuk menyampaikan mesej berkaitan wanita-wanita penghuni syurga. Ia membuktikan bahawa komunikasi visual juga berkesan dalam menyampaikan mesej yang mendalam.

Dimensi Kesepaduan dan Hubungan Pemimpin–Ahli

Dalam satu kajian oleh Che Su Mustaffa (UUM, 2004), komunikasi organisasi dikaji dari sudut dimensi seperti:
  1. Kesepaduan Organisasi: Sejauh mana kakitangan bersepadu dan terlibat dalam interaksi interpersonal bagi mencapai matlamat bersama.
  2. Keperluan Berinteraksi: Apabila pekerja berhadapan dengan cabaran maklumat, mereka akan terdorong untuk mencari jawapan melalui interaksi.
  3. Komunikasi Satu Hala: Masalah besar organisasi ialah komunikasi yang hanya berlaku dari atas ke bawah tanpa mendengar suara bawahan.

Ini selaras dengan prinsip yang digariskan oleh Stephen Covey dalam The 7 Habits of Highly Effective People bahawa pemimpin yang baik mesti terlebih dahulu cuba memahami orang lain, kemudian barulah berusaha untuk difahami (seek first to understand, then to be understood).

Realiti dan Cabaran Komunikasi Era Digital

Organisasi masa kini berhadapan dengan realiti komunikasi pelbagai saluran: daripada media konvensional seperti surat rasmi dan memo, kepada media baharu seperti WhatsApp, Facebook dan Telegram. Ditambah lagi dengan penggunaan teknologi AI yang mampu menghasilkan video yang nampak benar keasliannya. Walaupun teknologi ini mempercepatkan penyampaian maklumat, ia juga membuka ruang kepada salah faham, berita palsu dan manipulasi maklumat.

Kesimpulan

Komunikasi yang berkesan adalah elemen teras dalam kelangsungan dan keberkesanan sesebuah organisasi. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknikal penyampaian maklumat, tetapi menyentuh akar hubungan kemanusiaan yang menjadikan organisasi hidup, berfungsi dan berkembang.

Kegagalan komunikasi akan membawa kepada salah faham, konflik, sangkaan buruk dan akhirnya ketidakstabilan dalam organisasi. Justeru, menjadi keutamaan kepada setiap pemimpin untuk memahami keperluan ini, memperbaiki gaya komunikasi serta membina budaya komunikasi terbuka, telus dan dua hala.

Seiring dengan itu, saya mencadangkan agar pendekatan memperkasakan komunikasi organisasi dijadikan agenda penting dalam kursus-kursus kepimpinan, bengkel organisasi dan latihan profesional khususnya dalam gerakan Islam seperti PAS. Inisiatif ini bukan sahaja dapat melancarkan gerak kerja dalaman, malah dapat memastikan misi dakwah dan perjuangan Islam terus relevan dan dipercayai.

Wassalamu’alaikum warahmatullah.

Ulasan