NGA KOR MING JUMPA MUSUH BAHARU: PLASTIK & BOTOL MINERAL

NGA KOR MING JUMPA MUSUH BAHARU: PLASTIK & BOTOL MINERAL
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

1. Dalam dunia penuh pancaroba politik, ada menteri yang sibuk untuk meningkatkan ekonomi, ada yang berhempas pulas jaga kestabilan negara dan ada juga yang gigih menjejaki plastik kosong dan tisu basah sebagai punca utama kegagalan negara, itulah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kita, YB Nga Kor Ming.

2. Selepas Himpunan Turun Anwar (HTA) berjaya dilangsungkan secara aman, tersusun dan bersih, Nga Kor Ming muncul di pentas media dengan penemuan epik: sampah. Bukan sampah politik, tapi sampah literal kononnya ditinggalkan oleh peserta HTA. Maka bermulalah siri baru dalam Drama Madani: CSI Tapak Himpunan Edisi Bungkusan Nasi Lemak.

3. Tidak pasti sama ada Nga benar-benar kecewa dengan rakyat yang berhimpun atau dia sekadar cemburu kerana himpunan itu lebih bersih daripada sesetengah kawasan PBT di bawah kementeriannya. Barangkali, jika HTA ditukar namanya kepada Himpunan Kutip Sampah Nasional, barulah beliau akan hadir dengan penuh rasa kebanggaan.

4. Laporan media, rakaman drone dan testimoni warga kota membuktikan peserta HTA bukan hanya berhimpun secara aman, malah meninggalkan kawasan lebih bersih dari asalnya. Petugas Jabatan Amal Malaysia, NGO, mahasiswa dan orang awam berganding bahu, bukan setakat jaga disiplin, tetapi angkat plastik lebih cekap dari lori Alam Flora.

5. Namun sayang, seribu kali sayang, dalam politik gaya Madani, kebenaran bukan untuk diiktiraf tetapi ia untuk dialih. Maka lahirlah naratif baharu: lawan kerajaan ialah mereka yang buang sampah. Hebat sungguh naratif ini, mampu mengaburi isu besar seperti inflasi, kos sara hidup, kenaikan tarif dan kegagalan janji reformasi.

6. Kepada Nga Kor Ming, jika benar prihatin soal kebersihan, eloklah turun ke kawasan-kawasan PBT yang sejak dahulu bergelumang dengan longkang tersumbat, kutipan sampah lambat, dan tandas awam yang menjadi punca trauma negara. Itu lebih gentleman, daripada sibuk kira jumlah botol air mineral selepas himpunan rakyat.

7. Kerana yang rakyat mahu bersih, bukan sekadar tapak himpunan tapi juga hati pemimpin, dasar kerajaan dan laku janji Madani.

KFAK

Ulasan