NOSTALGIA KERETA API MEL & EKPRES RAKYAT : LEGASI PENGANGKUTAN RAKYAT


NOSTALGIA KERETA API MEL & EKPRES RAKYAT : LEGASI PENGANGKUTAN RAKYAT

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Awal pagi ini, saya bergerak ke Arau menggunakan perkhidmatan ETS. Sengaja saya bermula di stesen KTM Kuala Lumpur berbanding dengan KL Sentral kerana mahu mengimbau kenangan lalu.

Ya sudah pasti, di sebalik semua kemajuan pengangkutan moden hari ini seperti LRT, MRT, ETS dan sebagainya, masih ramai daripada kita yang menyimpan rindu pada satu zaman yang sederhana tapi penuh makna: zaman kereta api Mel dan Ekspres Rakyat.

Bagi yang pernah hidup pada era itu, dua perkhidmatan ini bukan sekadar kenderaan, tapi menjadi sebahagian daripada memori hidup yang membawa kita dari desa ke bandar, dari rumah ke asrama, dari rindu ke realiti.

Perjalanan ke STAR, Ipoh

Saya masih ingat betul perjalanan pertama saya ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh pada tahun 1986. Bertolak dari Stesen KTM Kluang awal pagi 10 Januari bersama Abah (arwah), Mak dan dua orang adik saya, Khairul Dzarif (arwah) dan Khairul Azhar ikut sekali.

Kami naik kereta api dari Kluang ke Ipoh, mengambil masa lebih kurang sembilan jam. Bayangkan, sembilan jam naik kereta api dengan bunyi "duk duk duk" landasan mengiringi sepanjang jalan. Mujurlah arwah Abah beli tiket untuk kereta api Ekspres Rakyat.

Tapi itulah kenangan. Itulah permulaan saya ke alam baru, hidup sebagai anak perantau dan pelajar berasrama penuh.

Apa Itu Kereta Api Mel?

Kalau generasi sekarang tak pernah dengar, Kereta Api Mel atau "Mail Train" adalah kereta api rakyat. Istilah "Mel" tu datang dari "mail", sebab tren ini bukan sahaja bawa penumpang sahaja, tapi juga angkut surat dan bungkusan. Motosikal pun boleh diangkut dengan keretapi Mel.

Tambangnya murah, tapi perjalanannya...boleh tahan panjang. Sebabnya, keretapi Mel berhenti hampir di setiap stesen, tak kira besar atau kecil. Kalau kita naik dari Ipoh pukul 11 malam, boleh sampai KL sekitar 6.30 pagi, tukar tren, dan tiba di Kluang hampir 5.30 petang.

Kadang-kadang sampai lambat. Tapi pengguna setia dah faham ; "biasalah kereta api Mel", kata sahabat-sahabat saya.

Ekspres Rakyat & Tren-Tren Ikonik Lain

Berbeza dengan Kereta Api Mel, Ekspres Rakyat adalah untuk yang nak cepat dan selesa. Ia hanya berhenti di stesen utama seperti Johor Bahru, Kluang, Gemas, Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh dan Butterworth.

Ada juga tren ekspres lain seperti:
  1. Sinaran Pagi
  2. Sinaran Petang
  3. Senandung Malam
  4. Ekspres Timuran (JB ke Wakaf Baru, Kelantan)

Paling best kalau naik Senandung Malam atau Ekspres Timuran, sebab tren-tren ni ada gerabak tidur berkatil untuk Kelas Pertama dan Kelas Kedua. Harga tiket lebih mahal sedikit terapi berbaloi sebab dapat tidur berbaring.

Tren-tren Ini Kini Hanya Tinggal Kenangan

Sayangnya, semua tren ini akhirnya dihentikan secara rasmi sekitar awal 2010-an, dengan kemunculan tren elektrik seperti ETS yang lebih laju dan moden. Ya, ETS memang cepat, bersih dan efisien. Tapi 'jiwa' tu macam dah hilang.

Tak ada lagi suasana kantin tren, tak ada lagi sembang-sembang dengan penumpang sebelah, tak ada lagi rasa bergegar bila tren lalu atas jambatan lama.

Bila Yang Lama Ada Nilainya

Hari ini kita bercakap tentang "transformasi", "digitalisasi", "kecekapan", tapi kadang-kadang kita terlupa bahawa apa yang perlahan itu, ada nilai manusianya. Kereta api Mel dan Ekspres Rakyat bukan hanya tentang perjalanan, tetapi tentang kenangan, persahabatan, dan rasa cinta pada tanah air.

Mungkin semuanya kini tinggal dalam lipatan sejarah, tapi bagi yang pernah melaluinya, ia akan kekal dalam hati.

Semuanya sudah jadi sejarah, tapi sejarah itulah yang membentuk siapa kita hari ini.

KFAK

7 Julai 2025

Ulasan