POLITIK 'SATE' DALAM UMNO : TERSUSUK, TERBAKAR DAN TERBELAH
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Dalam dunia politik Malaysia yang penuh dengan warna-warni konflik dan kesetiaan bersyarat, muncul satu istilah baharu yang menyindir tepat ke jantung UMNO: POLITIK SATE. Menariknya, istilah ini bukan datang daripada penganalisis politik bebas atau pembangkang, tetapi dari mulut Setiausaha Agung UMNO sendiri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantang, beliau memberi analogi yang mencuit tetapi amat sinis iaitu dalam UMNO ada tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar dan tukang balik-balik. Sate yang sepatutnya menjadi juadah enak rakyat kini menjadi lambang kebusukan budaya politik dalaman parti yang pernah menjadi tunjang utama kerajaan Malaysia selama beberapa dekad.
Politik Pecah Belah: Dari Dalam, Bukan Dari Luar
Apa yang diangkat oleh Dr. Asyraf bukan sekadar perumpamaan tetapi ia adalah pendedahan dalaman, satu pengakuan bahawa penyakit dalam UMNO bukan datang dari luar tetapi daripada elit dan akar umbi sendiri. Politik sate adalah politik pecah dan perintah dalam selimut yang sama. Ia membibitkan perpecahan dan melahirkan budaya tikam belakang yang menjadikan perpaduan hanya slogan kosong.
Hakikatnya, budaya ini bukan baharu. Ia hanya disolek dengan nama baru. Sejak dulu, UMNO terkenal dengan budaya cantas-mencantas, politik wang dan kelompok eksklusif dalam parti. Apa yang menjadikannya lebih tragis kini ialah apabila peringatan itu datang dari kepimpinan sendiri, tetapi tidak mampu atau tidak mahu bertindak terhadap punca sebenar masalah.
Zahid Hamidi : Masalah atau Penyelesaiannya?
Di sinilah letaknya persoalan besar: Apakah budaya politik sate ini mampu dihentikan selagi Datuk Seri Zahid Hamidi masih berkuasa sebagai Presiden UMNO yang kini dilihat lebih selesa menjadi pelindung politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga dianggap sebagai guru politiknya, hanya menambah lapisan kebingungan dalam UMNO. Dari segi naratif, beliau bercakap soal perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Tetapi dari segi tindakan, UMNO hari ini dilihat hanya menjadi penumpang politik dalam kerajaan pimpinan Anwar.
Hubungan politik yang terlalu akrab antara Zahid dan Anwar menjadikan UMNO kehilangan identiti. Parti ini sudah tidak berfungsi sebagai entiti yang bebas memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam, sebaliknya lebih menjadi alat kekuasaan kepada seorang perdana menteri. Zahid bukan sekadar gagal menyatukan parti, malah dilihat tunduk dan mengiyakan apa sahaja telunjuk Anwar sama ada dari segi dasar mahupun arah politik kerajaan.
Lebih-lebih lagi, orang UMNO semakin rasa tidak selesa dengan adanya DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Umumnya kita tahu bahawa UMNO sukar menerima DAP namun kerana kepentingan politik, segalanya terpaksa ditelan walaupun pahit dan perit.
UMNO: Parti Lama, Masalah Lama, Pemimpin Lama
UMNO kini ibarat sate yang terlalu lama dibakar, hangus di luar dan mentah di dalam. Kehilangan arah, ketiadaan keyakinan dan kegagalan meyakinkan rakyat bahawa mereka masih relevan menjadikan PRU16 bukan medan kebangkitan tetapi kemungkinan besar menjadi kubur terakhir bagi sebuah parti yang pernah gah.
Selagi Zahid kekal memimpin, selagi UMNO kekal dalam bayang-bayang Anwar, selagi budaya politik sate terus marak tanpa tindakan disiplin dan reformasi dalaman sebenar, maka UMNO tidak akan mampu bangkit. Realitinya, UMNO bukan sahaja makin jauh dari rakyat tetapi sudah tidak lagi relevan di mata pengundi muda, pengundi pertengahan bahkan pengundi tradisi yang semakin kecewa.
Penutup
Maka benarlah peringatan Dr. Asyraf politik sate mesti dihentikan. Tetapi yang lebih penting, tukang cucuk utama, tukang bakar sebenar dan tukang balik yang paling besar mesti disingkir terlebih dahulu. Selagi mereka berkuasa, api perpecahan akan terus menyala, daging kesetiaan akan terus hangus dan lidi perjuangan akan terus reput.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan