STAR ANACONDA TERUS MENCIPTA SEJARAH: JUARA HOKI SBP KEBANGSAAN KALI KESEMBILAN!
Laungan “STAR Anaconda!” bergema megah di Stadium SUKPA, Kuantan apabila Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh berjaya mempertahankan kejuaraan dan merangkul gelaran Juara Hoki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) peringkat Kebangsaan buat kali ke-9 dalam sejarah gemilang hoki STAR.
Perlawanan akhir yang penuh dramatik itu menyaksikan STAR bangkit penuh bergaya menewaskan pasukan tangkas dari utara tanah air, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (KUPSIS), dengan jaringan 4-2 dalam satu aksi yang mendebarkan dari mula hingga tamat.
Lebih manis, kejayaan ini melengkapkan deretan kejuaraan buat STAR yang kini mencatat rekod sebagai juara bagi tahun 2013, 2014, 2015, 2016, 2018, 2022, 2023, 2024 dan 2025, menjadikan STAR kuasa dominan yang sukar digugat dalam kejohanan hoki SBP yang telah berlangsung sejak tahun 2006.
Meskipun KUPSIS terlebih dahulu mengejutkan penyokong STAR dengan dua gol awal, semangat juang "Anaconda" tidak pernah padam. Tiga gol dijaringkan dalam separuh masa kedua membuktikan keunggulan fizikal dan mental pasukan STAR, satu kebangkitan yang mendapat sorakan gegak gempita dari para penyokong yang hadir termasuklah daripada kalangan Persatuan Murid-Murid Tua STAR (STAROBA).
Sebelum mara ke perlawanan akhir, STAR telah muncul juara Kumpulan A, membenam cabaran Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) 3-1 di suku akhir dan melakar kemenangan bergaya 6-0 ke atas musuh tradisi, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di separuh akhir.
Nama jolokan “Anaconda”, yang mula digunakan sejak tahun 1990, terus hidup dalam legenda. Ketika itu, pasukan hoki STAR mencipta kejutan di arena hoki negeri Perak apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah negeri Perak (MSSPK) dan sejak itu nama itu kekal menjadi simbol keberanian dan kekuatan. Malah, Ketua Pasukan STAR Anaconda 1990, Wan Mohd Nur Muzailan masih menabur bakti membantu melatih pasukan hoki STAR di peringkat rendah/junior.
Berikut adalah senarai Juara Hoki SBP (Lelaki) 2006–2025:
· STAR (2013, 2014, 2015, 2016, 2018, 2022, 2023, 2024, 2025)
· SM Sains Machang (SMACH) - (2006, 2008, 2010)
· SM Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) - (2007, 2009, 2011, 2017)
· SM Sains Teluk Intan (SEMESTI) - (2012)
· SMS Tengku Muhammad Faris Petra (Faris Petra) - (2019)
Dengan sembilan gelaran kini berada dalam genggaman, STAR bukan sahaja mencatat sejarah tetapi terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga SBP dan arena hoki sekolah tanah air.
Tahniah dan syabas STAR ANACONDA!
Teruskan mencipta magis, menjulang panji dan mengangkat nama sekolah, negeri dan negara!
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
STAR Anaconda 1990
Ulasan
Catat Ulasan