MUKTAMAR PAS KE-71: CATATAN SEJARAH BAHARU DI BUMI KEDAH



MUKTAMAR PAS KE-71: CATATAN SEJARAH BAHARU DI BUMI KEDAH

Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Di tengah-tengah sawah padi menghijau di Kota Sarang Semut, Kompleks PAS Kedah sekali lagi bakal menjadi saksi kepada detik besar dalam sejarah perjuangan Islam tanah air. Dari 11 hingga 16 September 2025, ribuan perwakilan dan pemerhati akan berhimpun untuk menyertai Muktamar Tahunan PAS kali ke-71, sebuah perhimpunan yang bukan sekadar rutin tahunan, tetapi simbol kekuatan, kesatuan dan hala tuju perjuangan Islam di Malaysia sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951.

Enam Hari Penuh Semangat

Buat pertama kali dalam catatan sejarah PAS, muktamar ini akan berlangsung selama enam hari penuh. Ia bermula dengan Muktamar Dewan Pemuda pada 11–12 September, diteruskan dengan Muktamar Dewan Muslimat pada 13–14 September dan diakhiri dengan kemuncak Muktamar PAS Pusat pada 15–16 September yang mana ianya akan diadakan di lokasi yang sama iaitu Kompleks PAS Kedah.

Kali terakhir muktamar berlangsung panjang ialah pada tahun 2023 di IDCC Shah Alam iaitu lima hari penuh namun kali ini, Kedah melakar sejarah baharu dengan tempoh lebih panjang, lebih teratur dan lebih tersusun. Ia membuktikan keupayaan PAS mengurus muktamar besar dengan penuh disiplin dan kematangan politik.


Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan menyebut:

“Muktamar ini bukan sekadar persidangan tahunan, tetapi medan kita memperbaharui iltizam perjuangan, menyusun langkah masa depan dan membuktikan bahawa Islam adalah penyelesaian untuk umat dan negara.”

Enam hari yang panjang tidak dibiarkan berlalu hanya dengan persidangan muktamar sahaja tetapi diisi dengan pelbagai acara luar seperti Karnival Mai Kenai Kedah yang akan bermula pada 12 September lagi. Antara acara yang telah disusun adalah persembahan kesenian Islam, persembahan budaya kaum Cina dan India, perlawanan Bola Sepak, gerai jualan dan pelbagai acara yang melibatkan semua peringkat umur.

Kedah: Lambang Pengiktirafan

Tidak dapat dinafikan, pemilihan Kedah sebagai tuan rumah kali keenam adalah satu penghormatan besar. Negeri ini bukan sekadar bumi lahirnya ramai tokoh ulama dan pejuang Islam, malah menjadi benteng penting kepada PAS dalam sejarah politik negara.

Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato' Ustaz Ahmad Yahaya, turut menegaskan:

“Kami di Kedah menganggap amanah sebagai tuan rumah muktamar ini satu penghormatan, bahkan satu tanggungjawab besar. Dari sini kita ingin memperlihatkan kekuatan saf perjuangan PAS yang tersusun rapi, insya-Allah.”

Tahun Melawat Kedah 2025: Muktamar Menjana Ekonomi

Apa yang lebih menarik, muktamar tahun ini berlangsung ketika negeri Kedah menyambut Tahun Melawat Kedah 2025. Selain mengikat ukhuwah para pejuang politik Islam, ia turut dijangka memberi limpahan ekonomi melalui pameran, jualan serta program pelancongan.

Panitia Muktamar turut menubuhkan Unit Informasi Pelancongan yang diketuai oleh YB Mejar (B) Mansor Zakaria. Unit ini berperanan memperkenalkan tempat-tempat menarik kepada para perwakilan dan pemerhati, membuktikan bahawa muktamar bukan sekadar perbahasan politik, tetapi juga wadah mempertemukan agama, budaya dan ekonomi rakyat.

Konvensyen Terakhir DHPP & Sidang As-Sabiqun

Lebih bermakna, muktamar kali ini juga menjadi saksi kepada konvensyen terakhir Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Sidang As-Sabiqun. Kedua-dua sayap ini telah disahkan oleh ROS sebagai sayap rasmi baharu PAS. Selepas muktamar nanti, kedua-duanya akan mengadakan Mesyuarat Agung Penubuhan bagi membentuk Jawatankuasa Penaja.

Ini jelas menunjukkan bahawa PAS semakin matang dalam memperluas medan perjuangan, menghargai sumbangan veteran parti serta mendakap sahabat bukan Islam yang bersama dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Dua Jenis Keahlian: Pindaan Perlembagaan 2025

Muktamar kali ini juga mengesahkan satu lagi langkah bersejarah iaitu pindaan Perlembagaan PAS 2025 yang diluluskan oleh ROS. Dengan pindaan ini, PAS kini mengiktiraf dua kategori keahlian rasmi: Ahli PAS dan Ahli Bersekutu PAS.

Bagi rakyat Malaysia bukan Islam yang menyertai PAS, mereka kini diiktiraf sebagai Ahli Bersekutu. Secara rasmi, ahli DHPP akan menikmati status ini, sekaligus memperkukuh PAS sebagai sebuah gerakan politik Islam yang terbuka, inklusif dan mampu memimpin masyarakat majmuk di Malaysia.

Muktamar: Medan Muhasabah dan Kebangkitan

Dengan segala keistimewaan ini, Muktamar PAS ke-71 bukan sekadar perhimpunan tahunan. Ia adalah medan muhasabah perjuangan, pentas menilai hala tuju, serta gelanggang kebangkitan untuk memperkukuh saf perjuangan Islam.

Dari Kedah, cahaya muktamar ini akan menyinari seluruh tanah air, mengukuhkan keyakinan bahawa perjuangan Islam yang dipandu PAS akan terus relevan, terus gagah dan terus mara ke hadapan.

“Dan katakanlah: Kebenaran telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap.” (Surah al-Isra’: 81)

Ulasan