MUKTAMAR PAS KE-71 DI KEDAH: PENYATUAN FIKRAH, SEMANGAT DAN SEJARAH PERJUANGAN
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Kedah sekali lagi menjadi tumpuan politik Islam tanah air apabila Kompleks PAS Negeri Kedah, Kota Sarang Semut, dipilih sebagai gelanggang Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 pada 11 hingga 16 September 2025.
Penganjuran selama enam hari penuh ini menghimpunkan ribuan perwakilan, pemerhati dan penyokong dari seluruh negara, sekali gus menyemarakkan semangat perjuangan serta memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan.
Buat julung kali, semua sayap PAS berkumpul secara serentak di negeri yang terkenal sebagai Jelapang Padi negara. Muktamar Pemuda (11–12 September), Muktamar Muslimat (13–14 September) dan kemuncak Muktamar PAS Pusat (15–16 September) akan berlangsung di Kompleks PAS Kedah. Manakala Muktamar Dewan Ulamak, Konvensyen DHPP serta Sidang As-Sabiqun akan diadakan pada 13 September di lokasi berbeza sekitar Kedah.
Sejak 1951, Kedah telah enam kali menjadi tuan rumah. Dari era Lebai Pak Man Bukit Besar (1962), kepimpinan Ustaz Fadzil Noor (1984), pentadbiran Ustaz Azizan (2006), pasca-Pakatan Rakyat (2017) hingga PAS kembali menguasai Kedah (2022), negeri ini kekal sebagai medan bersejarah perjuangan Islam.
Muktamar tahun ini turut menyaksikan pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2025–2027, yang berlangsung dalam suasana harmoni tanpa perebutan kuasa, menzahirkan adab dan tarbiyah yang menjadi kekuatan parti.
Lebih bermakna, ia berlangsung seiring Tahun Melawat Kedah 2025. Panitia Muktamar menubuhkan Unit Informasi Pelancongan bagi memperkenalkan tarikan negeri ini, manakala Karnival Mai Kenai Kedah turut disusun dengan persembahan seni, budaya, sukan dan jualan rakyat.
Dua perkembangan penting turut dicatatkan, pindaan Perlembagaan PAS yang mengiktiraf kategori keahlian baharu, Ahli PAS dan Ahli Bersekutu serta pengiktirafan rasmi DHPP dan As-Sabiqun sebagai sayap parti selepas muktamar ini.
Logo rasmi Muktamar Ke-71 yang dipilih melalui pertandingan terbuka membawa simbol patriotisme, perjuangan Islam dan identiti Kedah. Lorekan bendera Malaysia dan PAS membentuk angka 71, lambang padi melakar imej negeri, manakala Menara Alor Setar menjadi mercu tanda kebanggaan.
Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan, “Muktamar ini bukan sekadar persidangan tahunan tetapi medan memperbaharui iltizam perjuangan, menyusun langkah masa depan dan membuktikan bahawa Islam adalah penyelesaian untuk umat dan negara.”
Dari sawah padi menghijau Kota Sarang Semut, muktamar ini menjadi saksi bahawa perjuangan Islam tidak pernah luntur. Kedah sekali lagi mengangkat obor perjuangan menyatukan generasi lama dan baharu, mendakap sahabat bukan Islam, serta memperkukuh strategi menuju PRU-16.
Laungan takbir bakal menggema, membawa tekad bahawa Islam pasti menang. Dari Kedah, PAS melangkah untuk Malaysia Sejahtera.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Timbalan Pengarah Panitia Muktamar Tahunan PAS Ke-71
Ulasan
Catat Ulasan