ISU SUSPEK PESALAH ROGOL DIBENARKAN MENDUDUKI SPM: KEWARASAN DASAR DAN SENSITIVITI MASYARAKAT


ISU PESALAH ROGOL DIBENARKAN MENDUDUKI SPM: KEWARASAN DASAR DAN SENSITIVITI MASYARAKAT

Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap kenyataan YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung keputusan membenarkan empat orang pelajar yang terlibat dalam kes rogol pelajar junior di Melaka untuk menduduki peperiksaan SPM pada 3 November 2025 atas alasan mereka “tidak boleh ketinggalan dalam pendidikan”.

Pandangan saya, keputusan tersebut amat memerlukan penelitian semula daripada sudut moral, psikologi dan keadilan sosial. Isu ini bukan sekadar soal hak pendidikan semata-mata tetapi turut melibatkan sensitiviti mangsa, komuniti sekolah, para guru, dan ibu bapa.

Empat orang pelajar tersebut bukan sahaja ditahan dan sedang direman atas kesalahan yang sangat serius iaitu melibatkan jenayah rogol, rakaman video dan penyebaran kepada rakan lain tetapi tindakan mereka telah menyebabkan trauma mendalam kepada mangsa serta mencemar maruah institusi pendidikan itu sendiri. Keputusan untuk membenarkan mereka kembali menduduki peperiksaan di persekitaran sekolah biasa boleh mengundang ketidaktenteraman emosi kepada mangsa dan pelajar lain yang masih dalam proses pemulihan psikologi.

Persoalannya, adakah wajar pelajar-pelajar lain, khususnya rakan sebaya mangsa, dipaksa berkongsi ruang peperiksaan dengan individu yang telah menyebabkan trauma terhadap komuniti sekolah? Apakah jaminan bahawa kehadiran mereka tidak akan mengganggu kestabilan emosi pelajar lain?

Saya berpandangan bahawa pelajar-pelajar berkenaan sepatutnya digantung persekolahan serta-merta sehingga proses undang-undang selesai sepenuhnya. Sekiranya mereka ingin meneruskan pendidikan dan menduduki SPM, hal itu boleh dilaksanakan di institusi khusus seperti Sekolah Henry Gurney yang lebih sesuai bagi pelajar yang berhadapan dengan kes jenayah.

Kementerian Pendidikan perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan kes sensitif seperti ini. Ia bukan sekadar soal akses pendidikan tetapi juga isu keadilan terhadap mangsa dan keselamatan psikologi pelajar lain. Dalam menguruskan sistem pendidikan, pertimbangan moral, sensitiviti masyarakat dan prinsip kebertanggungjawaban harus sentiasa menjadi keutamaan.

Kita mengharapkan agar pihak kementerian menilai semula pendekatan ini dengan penuh hikmah dan empati terhadap semua pihak yang terlibat.

KFAK

Ulasan