MALAYSIA VS LAOS MALAM INI: SEMANGAT PENYOKONG HARIMAU MALAYA MASIH ‘LESU’


MALAYSIA VS LAOS MALAM INI: SEMANGAT PENYOKONG HARIMAU MALAYA MASIH ‘LESU’

Kalau diukur pada semangat, mungkin skuad Harimau Malaya malam ini turun ke padang dengan dada penuh patriotisme tapi kepala berserabut. Siapa boleh tenang bila “bapa bola sepak negara” sendiri sedang disiasat oleh FIFA kerana isu dokumen yang, kononnya, “silap teknikal”? Silap teknikal apa kalau datuk pemain lahir di Argentina tapi borang tulis Melaka? Itu bukan silap, itu fantasi bola sepak kebangsaan.

Perlawanan menentang Laos sepatutnya jadi peluang untuk kita tambah mata, bukan tambah malu. Tapi dengan FAM sedang meniti “detik kekalahan” di mata dunia, pemain kita mungkin lebih risau dengan apa yang sedang berlaku di Wisma FAM daripada apa yang bakal berlaku di Vientiane.

Media pun dah kurang ghairah nak menulis tentang formasi, taktikal atau siapa penjaring. Semua sibuk kejar cerita sensasi tentang tujuh “pemain warisan” yang rupanya mewarisi lebih banyak drama daripada bakat. FIFA pula siap keluarkan kenyataan rasmi, lengkap dengan nama-nama negara asal datuk nenek mereka dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda. Hebat sungguh, sampai Harimau Malaya pun nampak macam Harimau Antarabangsa.

Hukumannya? Satu tahun terpaksa tinggalkan padang bola sepak. Boleh lah tujuh pemain yang terlibat ambil masa tenang, cuci but dan sambil fikir apa makna sebenar “berkhidmat untuk negara”. Sementara itu, Cklamovski kena tampung kekosongan skuad dengan pemain muda dan muka baru yang mungkin tak pernah terfikir akan “naik pangkat” secepat ini.

Di atas kertas, kita pernah belasah Laos lima kali berturut-turut. Tapi kali ini, suasananya lain. Kita pula bertandang ke New Laos National Stadium. Bagaimana agaknya penyokong pihak lawan akan sambut kita nanti. Lawan kita tentulah bersiap dengan semangat “nak ajar Malaysia yang tengah kelam-kabut”. Kita pula, kalau menang pun, orang kata nasib. Kalau kalah, alamatnya #FAMOut akan kembali trending.

Hakikatnya, peminat dah muak. Mereka bukan marah sebab kalah bola. Mereka marah sebab dimalukan, sebab jadi bahan ketawa antarabangsa. FAM janji nak bawa Malaysia ke Piala Asia tapi akhirnya bawa kita ke Court of Arbitration for Sport.

Kita pun terus berharap, mungkin kemenangan ke atas Laos boleh jadi ubat panadol sementara untuk sakit kepala bola sepak negara. Tapi sampai bila nak makan ubat tanpa rawat punca penyakit?

Jadi malam ini, kalau Harimau Malaya menang pun, jangan terlalu gembira. Sebab di sebalik sorakan gol, ada satu hakikat pahit: reputasi kita dah tercalar dan air mata penyokong belum sempat kering.

Itulah realiti bola sepak Malaysia hari ini di mana dokumen salah taip lebih laju daripada larian Arif Aiman di sayap kanan.

KFAK

Ulasan