PANDANGAN SAYA: ISU PERJANJIAN ART DAN MASA DEPAN KEDAULATAN EKONOMI MALAYSIA
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) menimbulkan banyak persoalan yang belum terjawab. Saya melihat ART bukan sekadar perjanjian perdagangan biasa; ia membawa implikasi jangka panjang terhadap kedaulatan ekonomi dan keupayaan negara menentukan dasar sendiri tanpa tekanan luar.
Apa yang kita risaukan sebenarnya bukan hanya kandungan ART, tetapi cara kerajaan menguruskannya. Mengapa terlalu sukar untuk memberi penjelasan di Parlimen? Mengapa jawapan yang diberikan terlalu umum, seolah-olah ada sesuatu yang tidak mahu didedahkan kepada rakyat?
Dalam hubungan antarabangsa, ketelusan adalah asas kepercayaan. Tetapi apabila perjanjian sebesar ini dilihat seperti diselindungkan daripada penelitian awam, ia mengundang tanda tanya yang lebih besar. Rakyat berhak tahu apa yang kerajaan tandatangani bagi pihak mereka.
Malaysia pernah melalui pelbagai rundingan perdagangan. Ada yang menguntungkan, ada yang merugikan. Namun, pengalaman juga mengajar kita bahawa perjanjian yang kelihatan “menang-menang” sering kali akhirnya memihak kepada pihak yang lebih kuat terutama apabila melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Bagi saya, persoalan utama yang perlu difikirkan bersama ialah:
Adakah ART membawa manfaat sebenar kepada Malaysia atau sekadar meletakkan kita dalam kedudukan bergantung kepada kuasa luar?
Kita tidak anti-pelaburan dan tidak anti-kerjasama antarabangsa. Apa yang kita persoalkan ialah keseimbangan kuasa dalam perjanjian tersebut. Jika syarikat-syarikat besar diberikan akses terlalu luas, industri tempatan boleh terhimpit. Jika syaratnya mengikat, kerajaan mungkin kehilangan ruang untuk membuat dasar yang memihak kepada rakyat sendiri.
Lebih membimbangkan, ART ditandatangani pada ketika geopolitik global semakin tegang. Semua kuasa besar sedang mencari tapak pengaruh di Asia Tenggara. Negara-negara kecil seperti Malaysia mudah menjadi sasaran strategi ekonomi mereka. Jika tidak berhati-hati, kita boleh terperangkap dalam jaringan kepentingan asing yang sukar dilepaskan.
Saya berpandangan, kerajaan perlu lebih telus, lebih matang dan lebih berani dalam menjelaskan ART secara terbuka. Tidak ada sebab untuk berahsia jika perjanjian itu benar-benar baik untuk negara.
Rakyat bukan mahu mencari salah. Rakyat hanya mahu kepastian bahawa masa depan ekonomi mereka tidak dipertaruhkan atas meja rundingan antara dua kuasa tidak seimbang.
ART bukan isu kecil. Ia akan menentukan bentuk ekonomi Malaysia dalam dekad akan datang. Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak bersuara sebelum semuanya sudah terlambat.
KFAK

Ulasan
Catat Ulasan