SABAH MENGULANG SEJARAH JOHOR : SATU KERUSI MENGUBAH LANDSKAP POLITIK PAS
PAS Sabah kini menempuh detik yang pernah dilalui PAS Johor dua dekad lalu. Pada suatu masa, PAS di Sabah sering diperlekeh. Ada yang menyindir bahawa PAS jangan bermimpi untuk menang di bumi itu, realiti politiknya dianggap terlalu keras, lanskapnya terlalu unik dan sokongan terhadap PAS dikatakan mustahil untuk diterjemahkan menjadi kerusi.
Naratif yang sama pernah menghantui PAS Johor. PAS Johor suatu ketika dahulu bukan sahaja kecil, bahkan dipersendakan. Gelaran “parti nyamuk” pernah dilemparkan kerana saiz dan pengaruhnya yang dilihat terlalu kerdil untuk memberi sebarang kesan. Lebih parah, PAS Johor pernah dinafikan hak bertanding walaupun satu kerusi Parlimen atau DUN pada PRU 1974, meskipun ketika itu PAS adalah komponen sah Barisan Nasional. Negeri Johor ketika itu dianggap kubu paling keras buat UMNO sehingga kewujudan PAS dalam BN pun tidak membenarkan parti itu diberikan laluan bertanding. Itulah gambaran jelas betapa terpinggirnya PAS Johor pada ketika itu.
Namun sejarah tidak pernah statik. Kemenangan sulung PAS Johor pada 2004 walaupun lahir daripada kesilapan teknikal dan taktikal pihak lawan telah mencetuskan transformasi besar. Dari satu kerusi kecil itu, PAS Johor mula membina keyakinan, meluaskan jaringan, meningkatkan profesionalisme dan akhirnya menjadi sebahagian daripada arus politik yang lebih dihormati di negeri ini.
Hari ini, PAS Sabah mengulangi episod yang sama dan kemenangan di Sabah lebih manis kerana kemenangannya di dalam PRN Sabah melalui undian rakyat. Kemenangan satu kerusi bukan sekadar memecahkan mitos bahawa PAS tidak mungkin menang di Sabah, malah ia menandakan perubahan sentimen rakyat terhadap politik alternatif. Sama seperti kisah PAS Johor dahulu, kemenangan ini boleh menjadi titik tolak kepada pengukuhan struktur parti, pembinaan kepercayaan pengundi dan peluasan pengaruh pada masa hadapan.
Dari parti yang diperlekeh kepada parti yang memecah tembok pengalaman Johor kini sedang berulang di Sabah. Apa yang dahulu dianggap mustahil, kini muncul sebagai realiti. Seperti yang berlaku di Johor, kemenangan pertama ini mungkin menjadi permulaan kepada perjalanan politik yang jauh lebih besar.
Dalam konteks ini, kemenangan Datuk Dr. Aliakbar di Sabah turut memberikan suntikan motivasi yang besar kepada PAS Johor. Ia mengingatkan bahawa kejayaan boleh bermula dengan satu kerusi tetapi kesannya mampu menggoncang lanskap politik sesebuah negeri. Di bawah kepimpinan Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, PAS Johor kini bersedia melipatgandakan usaha dan gerak kerja menuju PRN dan PRU16.
Dengan penyusunan strategi yang lebih kemas, kerja lapangan yang diperkukuh serta kerjasama erat bersama rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional, PAS Johor bertekad untuk merealisasikan visi dan misinya bukan sahaja untuk memenangi lebih banyak kerusi tetapi untuk menawarkan sebuah alternatif politik yang lebih jelas, stabil dan berprinsip kepada rakyat Johor.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
1 Disember 2025

Ulasan
Catat Ulasan