Audit: Ketirisan berulang tapi tiada tindakan

Audit: Ketirisan berulang tapi tiada tindakan - Harakahdaily

Muhammad Faizal, 02 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan satu Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan bagi memastikan segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara boleh diambil tindakan tegas.

Jawatankuasa Majlis Tindakan atau Majis tiga orang yang dicadangkan itu perlu dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan juga Ketua Audit Negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu cadangan ini bagi memastikan penyelewengan dan ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak akan berulang lagi.

Katanya, Pakatan Rakyat melihat setiap kali laporan dibentangkan masih terdapat ketirisan yang berlaku dan insiden ini tidak pernah diambil tindakan yang tegas.

"Kita lihat laporan audit yang mengatakan terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya dalam isu-isu pembelian aset sepertimana tahun-tahun lepas.

"Tapi tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan, jadi Pakatan mencadangkan agar satu jawatankuasa majlis khas ataupun majlis tiga orang diwujudkan bagi membincang perkara ini.

"Hanya dianggotai tiga orang sahaja, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara. Ini bagi membincangkan bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mereka-mereka yang didapati menyelewenag," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di lobi Parlimen.

Lim Guan Eng yang turut kesal dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersidang dan melaporkan penyelewengan, namun mereka hanya sekadar mendedahkan tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tegas.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan melihat ia langkah terbaik untuk menangani insiden yang selaku berulang.

"Laporan ini menunjukkan ketirisan akibat dari salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan, sentiasa berulang setiap tahun.

"Ini mengesahkan kerajaan tidak pernah ambil iktibar daripada apa yang berlaku serta tidak memandang berat cadangan Ketua Audit," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tegas beliau, sepatutnya kerajaan mengenalpasti apakah bentuk mekanisma untuk mengelak perkara yang sama tidak berulang.

"Kelemahan ketara kerajaan adalah langsung tidak mengambil perhatian terhadap laporan audit.

"Hanya sekadar memenuhi peraturan undang-undang yang setiap kementerian perlu diaudit, tindakan tiada dan tahun depan benda yang sama diulangi," sambung beliau.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melihat isu ketirisan ini menjadi satu kelaziman di dalam agensi kerajaan yang dipandang remeh oleh kerajaan tanpa penguatkuasaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kesal apabila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini.

Namun katanya, perkara itu akan diperincikan dan dibahaskan pada sesi parlimen yang akan datang.

Ulasan