3. DALIL POLIGAMI DALAM Al QURAN
Apa khabar semua para pembaca? Semoga selepas membaca bab
terdahulu, hasrat dan niat untuk memahami tentang berpoligami masih lagi utuh
dan berkobar-kobar.
Bila bercakap tentang niat dalam bab yang lalu, saya teringat kepada seorang kawan saya yang pernah hubungi saya melalui aplikasi whatsapp, beliau melahirkan hasrat untuk berpoligami. Beliau seorang yang saya kategorikan sebagai OK, seorang suami yang bertanggungjawab dan boleh dikatakan berkemampuan untuk berpoligami.
Beliau beritahu saya, dia telah bertemu dengan seorang wanita yang dirasakan sangat serasi dengannya. Saya tidak pastilah apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan keserasian itu tapi beliau telah bertemu dengan seseorang yang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai isteri kedua.
Baguslah begitu, respon saya. Memang baguslah tapi sudahkah dimaklumkan kepada isteri yang pertama? Beliau kata, itulah masalahnya dan tujuan beliau hubungi saya adalah untuk minta saya jalan yang terbaik.
Saya katakan kepada beliau, langkah pertama telah dibuat, alhamdulillah. Maka, langkah kedua adalah beritahu kepada isteri tentang hasrat dan niat suci yang telah terbuku di hati.
Sehingga kini, langkah kedua masih belum lagi berjaya dilakukannya...
Itu muqaddimah untuk bab ketiga ini. Sekadar untuk renungan sahaja :-)
Para pembaca, amalan poligami adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, berpandukan kepada ayat Allah dalam surah An-Nisa'
"Dan jika kamu takut tidak berlaku
adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka),
maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan
(lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku
adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja
atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu
adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman"
Surah An-Nisa’ : Ayat 3
Mudah sahaja untuk faham apa
yang Allah sebutkan dalam ayatNya ini. Asasnya adalah berlaku adil. Itu perkara
basic yang kita terapkan. Adil ini bukan mesti sama tapi kita
meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itu yang Islam ajar kepada kita.
Apabila kita berpoligami,
keadilan adalah sesuatu yang perlu kita tegakkan. Saya tidak nafikan bahawa ia
adalah cabaran kepada kita apabila mula berpoligami. Sudah biasa bersama
seorang isteri, tiba-tiba hidup berubah apabila berpoligami.
Apa yang penting, sebagai
seorang suami kita perlu berusaha untuk berlaku adil dengan sebaiknya. Perlu
bersedia untuk memperbaiki diri untuk memberikan keadilan yang sebaiknya.
Jangan give up dengan apa jua cabaran yang dilalui kerana cabaran kepada
yang berpoligami tetap akan berterusan daripada pelbagai pihak yang
kadang-kadang tak ada langsung hubungan dengan kita.
Satu perkara lagi, jangan kita
fikir berlaku adil hanyalah bila kita berpoligami. Hak berlaku adil juga mesti
diberikan kepada isteri walaupun seorang. Mentang-mentang isterinya seorang
maka kita lebihkan masa kepada perkara lain sehingga lupakan masa untuk isteri
dan anak-anak. Itu tanggungjawab kita juga tuan-tuan.
Kesimpulannya, berlaku
adillah kepada semua.
Firman Allah,
Maksudnya : “Dan kamu tidak
akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu
bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung
dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu
biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika
kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada
perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Surah An-Nisaa’ : Ayat 129
Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram
kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya
pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang
berfikir.”
Surah Ar-Ruum : ayat 21
Kesimpulan bagi bab
ini seperti yang telah dinyatakan di atas bahawa jelaslah poligami itu ada
dinyatakan di dalam Al-Quran. Ia bukanlah amalan yang sengaja direka oleh
sesiapa untuk kepentingan orang lelaki atau sebaliknya tetapi ia adalah satu
konsep kehidupan yang sebenarnya akan harmoni sekiranya kita mampu
melaksanakannya menurut kehendak Islam.
Ulasan
Catat Ulasan