Dunia dijangka mengalami krisis rantai makanan ekoran perang Rusia-Ukraine yang masih berterusan.
Masalahnya, adakah Malaysia bersedia menghadapi krisis makanan?
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2016-2020 – berkata Malaysia sangat bergantung kepada import.
Antaranya daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion).
Selain itu, Malaysia juga amat bergantung kepada import untuk mendapatkan bekalan yang cukup bagi beras, bawang besar, produk tenusu, kopi, tepung gandum, teh, bawang kecil, ubi kentang dan minyak masak.
Semua ini sekadar untuk memenuhi permintaan domestik.
Pada tahun 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion.
“Pada masa yang sama, import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, manakala eksport berjumlah RM296 bilion,” Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dipetik sebagai berkata.
Penularan pandemik Covid-19 selama dua tahun dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberikan kesan kepada agro makanan negara secara langsung dan tidak langsung sehingga mengganggu kelancaran rantaian makanan seperti pengeluaran, pengedaran, pemasaran dan peruncitan produk hasil pertanian dan industri makanan.
Dengan nilai ringgit yang semakin rendah saban hari, harga makanan dijangka mengalami inflasi dan terus meningkat kerana kebergantungan tinggi negara pada import untuk memenuhi permintaan domestik.
Bidang pertanian negara pula mengalami kekangan berterusan akibat kekurangan tenaga pekerja buruh.
Rakyat Malaysia sendiri tidak berminat bekerja di bidang pertanian yang tidak dapat menawarkan gaji dan insentif yang menarik.
Perubahan iklim menambah perit para pengusaha pertanian kerana ia secara langsung menjejaskan hasil keluaran.
Rakyat Malaysia perlu bersedia berdepan dengan inflasi harga makanan yang bakal memeritkan semua pihak, terutamanya golongan B40 dan M40.
Taufan ini sudah hampir tiba.
Kerajaan Malaysia perlu memastikan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) berjalan dengan lancar dan berkesan.
Bantuan kewangan untuk sektor pertanian perlu dipastikan tiba di tangan petani dan bukannya hilang di tengah jalan diambil orang tengah yang menentukan siapa yang layak menerima bantuan.
Yang dikhuatiri kini ialah sikap ahli politik dan barisan pimpinan kita terlalu sibuk dengan ribut politik mereka sehingga terlupa taufan yang sudah tiba di pesisir pantai.
Ulasan
Catat Ulasan