Cabar Samsuri letak jawatan: Azalina perlu fokus ‘reformasi’



KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said diperingatkan supaya memberi fokus terhadap tugas yang sedang dipikul olehnya.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menasihati Azalina ekoran Ketua Penerangan Umno itu menggesa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Pengerang itu mencabar Dr Ahmad Samsuri meletakkan jawatannya kini supaya dapat memberi fokus bertanding satu lawan satu secara adil pada PRK P.040 Kemaman yang akan membuang undi 2 Disember depan.

“Dia bertanding atas tiket sebagai Menteri Besar. Sebab bila kalah boleh jadi Menteri Besar (lagi). Jadi maknanya dia tak ikhlas pada pengundi Kemaman. Kalau dia berani letak jawatan, (dan) bertanding.

“Bertanding kosong-kosong, satu lawan satu. Ha kita tengok mana kuat. Tak rugi kan?” desaknya di mana Samsuri bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan Azalina yang disifatkannya mungkin tidak perasan bahawa di Parlimen kini terdapat tiga Menteri Besar di blok kerajaan menjadi Ahli Dewan Rakyat dalam masa sama.

Beliau merujuk Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari daripada PKR yang menang di Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu dan kemudian bertanding lagi serta menang di DUN Sungai Tua pada PRN Ogos lalu.

Begitu juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun juga daripada PKR yang menang di Parlimen Port Dickson pada PRU15 itu dan kemudian mengekalkan kemenangan di DUN Sikamat pada PRN baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow daripada DAP pula bertanding di Parlimen Batu Kawan dengan memenangi kerusi itu PRU15 lalu dan bertanding juga PRN enam negeri baru-baru ini dengan memenangi DUN Padang Kota.

Ahli Parlimen tersebut turut mengemukakan Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Umno Negeri Sembilan di mana telah bertanding dan menang PRN baru-baru ini di DUN Pertang serta dilantik EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kekanda, semuanya (Menteri Besar itu) daripada Pakatan Harapan (PH) yang merupakan rakan karib kepada BN. Sewaktu mereka memegang jawatan sebagai Menteri Besar itulah mereka bertanding Parlimen pada PRU yang lepas.

“Ya, mungkin pada masa itu BN masih belum lagi rakan kongsi dengan PH. Yalah sebab masa itu ‘No Anwar, No DAP’ kan? ‘No PPBM’ dalam Perhimpunan Agung Umno. Tapi dalam PRN baru ni ketika mereka pegang jawatan sebagai Ahli Parlimen itulah mereka bertanding pula sebagai ADUN, elok-elok jadi Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Apa yang Umno tak kata ya? Jadi tak payahlah nak buat isu nak cabar apa. Reformasi dululah institusi parlimen itu dulu. Saya teringat kata-kata ‘Kalau kita jadi kerajaan, kita akan jadikan Peguam Negara itu orang kita’.

“Mungkin itulah reformasi, institusi yang sedang dilakukan sekarang. Fokus kepada tugas anda,” nasihat Fadhli kepada Azalina. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

Ulasan