Larang takbir, qunut nazilah, bendera: ‘Kamu mahu apa?’




APA sebenarnya yang mereka inginkan? apakah mereka benar-benar ikhlas untuk mempertahankan Palestin atau hanya sekadar retorik semata-mata?


Tular beberapa kenyataan berkaitan larangan bertakbir, larangan membaca qunut nazilah serta larangan membawa bendera Palestin ketika sambutan Minggu Palestin.

Saya rasa sangat pelik mengapa ia tidak dibenarkan? Sudahlah para pelajar dan guru ingin diambil tindakan tegas kerana mereka memakai kostum para pejuang Palestin, kini laungan membesarkan Allah pula tidak dibenarkan.

Laungan takbir ‘Allahuakbar’

Laungan takbir ini adalah bertujuan untuk membesarkan, memuji serta mengagungkan Allah S.W.T.

Disebut dalam al-Quran al-Karim:

وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

“Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah akan kebesaranNya!”

(Al-Muddathir: 3)

Dengan maksud hendaklah kamu mengagungkan Tuhanmu (Allah) dengan kalimah ‘Allahuakbar’.

Lafaz takbir ini disunatkan dalam banyak situasi selain daripada waktu azan, antaranya ketika menyembelih binatang, ketika berwirid dan berzikir selepas solat, ketika kita ingin bermusafir dan antaranya adalah ketika berperang.

Baginda Nabi S.A.W berada di Khaibar pada waktu pagi ketika penduduk Khaibar sedang keluar dengan membawa alat pertanian yang dipikul di leher mereka. Tatkala mereka melihat Baginda S.A.W, mereka berkata: “Muhammad dan tenteranya, Muhammad dan tenteranya”. Lalu mereka berlindung di sebalik tembok. Lantas Nabi S.A.W mengangkat kedua belah tangan Baginda dan berkata yang bermaksud: “Allahuakbar, hancurlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila datang ke perkampungan suatu kaum, maka buruklah akibatnya pagi hari yang dialami orang-orang yang diberi peringatan“….. (Riwayat al-Bukhari (2991))

Jelas dalam Hadis ini menggambarkan bahawa Nabi S.A.W ketika mana melihat musuh di Khaibar, Baginda Nabi bertakbir dengan mengangkat kedua belah tangan Baginda.

Maka dalam situasi kini, ketika saudara se-Islam kita dibedil, dibunuh, dibom rumah-rumah mereka oleh Zionis laknatullah menjadi satu galakkan agar kita bertakbir menunjukkan keizzahan kita serta menggerunkan musuh.

Qunut nazilah

Qunut nazilah merupakan Sunnah Baginda Nabi S.A.W.

Baginda Rasulullah S.A.W pernah melakukan qunut nazilah di dalam solat ketika berlakunya pengkhianatan dan juga pembunuhan terhadap beberapa orang Sahabat Baginda:

“Sesungguhnya Ri’l, Zakwan, Usaiyyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi S.A.W untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda S.A.W menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qurra’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’unah mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas sebahagian Arab, Ri’il, Zakwan, Usaiyyah dan puak Lahyan.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jelas dalam Hadis ni bahawa Baginda Nabi membacakan doa Qunut Nailah serta mendoakan keburukan ke atas musuh-musuh Islam yang telah melakukan kejahatan.

Tindakan Zionis Israel membunuh ribuan umat Palestin sangat jelas menunjukkan kejahatan dan kekejaman mereka, maka layaklah mereka dikecam serta didoakan akan kehancuran. Mengapa perlu rasa takut?

Bendera Palestin

Bendera adalah sesuatu yang sangat penting terutamanya untuk sesebuah negara. Tanpa adanya bendera, sesebuah negara itu mungkin tidak dikenali, tidak dihormati dan tidak dipandang tinggi.

Bendera negara harus dikibar dengan penuh tertib, penuh rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat. sebagai tanda kita menyanjung dan bersedia untuk mempertahankannya.

Atas dasar itu kita sering dipesan agar sentiasa mengibarkan jalur gemilang setiap kali Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan penuh rasa bangga sebagai tanda taat setia kita kepada negara.

Sebagai salah satu tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin yang sedang ditindas, kita hendaklah bangkit mengibarkan bendera Palestin agar rakyat Palestin merasai kebersamaan kita dengan mereka.

Kita pasti akan rasa bangga dan bersemangat apabila bendera negara kita dikibarkan dengan megah di mana-mana. Begitu juga rakyat Palestin, di kala mereka berhadapan dengan kekejaman Zionis, dengan kita mengibarkan bendera Palestin sudah pasti ia menjadi satu motivasi serta semangat buat rakyat Palestin untuk mereka terus bertahan dan berjuang sehingga diberikan kemenangan.

Maka, apalah erti solidariti kita bersama dengan rakyat Palestin seandainya ketiga-tiga perkara yang besar ini tidak dibenarkan?

Adakah ini sebahagian dari perancangan untuk menormalisasikan keadaan agar rakyat Malaysia mesti bersikap lembut dan bertoleransi dengan Israel?

Ataupun kita terlalu ingin menjaga hati DAP walaupun ia tiada kaitan langsung dengan mereka?

Saya juga ingin mendesak agar Menteri Pendidikan memberikan penjelasan berkaitan item no 6 dalam satu poster yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan “Dont’s untuk Minggu Solidariti Palestin.”

Apa sebenarnya yang ingin dimaksudkan “Jangan hanya menonjolkan perspektif satu pihak… Cuba untuk berikan gambaran berimbang mengenai situasi”?

Adakah ia bermaksud kita juga perlu mengatakan apa yang dilakukan oleh Zionis Israel ini juga betul? Agar ia nampak seimbang?

Adakah tindakan Zionis Israel membunuh lebih ribuan rakyat Palestin dilihat seimbang dengan situasi yang sedang berlaku?

Ataupun kita kena gambarkan bahawa perjuangan Palestin juga salah sebab serang Zionis laknat ni, untuk nampak seimbang? Baik tukar sahaja nama kepada ‘Minggu Solidariti Palestin dan Israel’ untuk nampak seimbang.

USTAZ MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/11/2023

Ulasan