Lintas langsung Himpunan Pertahan Syariah, Putrajaya


LINTAS Langsung program Himpunan Pertahan Syariah di dataran hadapan Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin, 20 November.

05:45 pagi: Orang ramai dipercayai para peserta himpunan termasuk jemaah setempat dilihat memenuhi sekitar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bagi persediaan menunaikan solat Subuh. Terdapat lebih 15 bas persiaran termasuk dua tingkat di jalan utama sekeliling masjid. Kebanyakannya berpakaian serba putih dan hijau serta hitam.


07:00 pagi: Sebahagian besar mereka telahpun bergerak berjalan kaki secara beramai-ramai menuju ke hadapan dataran termasuk membawa bendera Malaysia dan Palestin. Ada yang kelihatan singgah di beberapa bangunan berhampiran merakam gambar kenangan dan dipercayai mencari sarapan pagi. Kelihatan juga anggota Jabatan Amal Malaysia sudah bersiap siaga di dataran dan kebanyakan laluan. Jumlah bas dan kenderaan persendirian dilihat semakin banyak memasuki laluan. Dianggarkan lebih 2,000 peserta sedang berada sekitar dataran.

07:45 pagi: Kenderaan dilihat semakin banyak memasuki laluan di hadapan Istana Kehakiman dipercayai para penjawat awam dan pekerja di premis-premis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Pergerakan dipercayai peserta himpunan dilihat bergerak dalam kelompok-kelompok lebih besar dengan jumlah setiapnya lebih 100 orang di mana ramai yang membawa bendera Palestin.

08:15 pagi: Ramai pimpinan rakyat dalam kalangan ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama daripada PAS dilihat telah tiba dan menyantuni orang ramai. Antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Datuk Awang Hashim, Kamaruzaman Mohamad, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Dr Ustaz Riduan Mohamad Nor, Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaari, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan ramai lagi.

08:50 pagi: Solat hajat dipimpin oleh Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohammad Rodhi Abdul Rahman menjadi pembuka acara himpunan dengan disertai lebih 2,000 jemaah muslimin dan muslimat. Kehadiran awam dan media serta pihak keselamatan semakin ramai di dataran ini termasuk kalangan bukan-Islam.

09:08 pagi: Laungan ‘Hidup Islam!’ bergema seusai Syeikh Mohammad Rodhi yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah menghabiskan bacaan doa beliau yang turut memohon kemenangan buat Palestin menghadapi pakayan Ahzab diketuai Israel-Amerika Syarikat. Beliau juga memohon agar perundangan Syariah terus dipertahankan dan diaminkan oleh sekian hadirin.

09:18 pagi: Pidato bermula di atas pentas lori oleh Presiden PERKID, Ustaz Masridzi Sat. Kelihatan di atas pentas ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya serta Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh. Juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin serta pimpinan-pimpinan lain yang telah dinyatakan tadi. Kehadiran awam semakin ramai, dianggarkan telah melebihi 10,000 orang.


09:33 pagi: Penyelidik Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman menyifatkan situasi berlaku ketika ini adalah satu lagi bentuk penjajahan apabila perundangan Syariah cuba dicabar sedangkan ianya adalah undang-undang milik umat Nabi Muhammad SAW. Beliau mengingatkan undang-undang negeri yang berteraskan Syariah. Tegasnya, ia tidak patut diganggu gugat.

09:38 pagi: Wakil NGO Muafakat Nasional, Tun Faisal Ismail Aziz berkata tindakan mencabar perundangan Islam disifatkan senagai satu serangan. Tetapi ia bukan daripada Yahudi mahupun Zionis, tetapi oleh orang Islam yang mempunyai banyak persamaan dengan orang Islam lain. Kecamnya, mereka itu sebenarnya adalah golongan liberal. Menurutnya, mereka mahu menghapuskan perundangan Syariah atau hanya menyempitkannya kepada perihal amalan ibadah atau akidah sahaja. Tugas umat Islam negara ini adalah mempertahankannya dengan memastikan para pemimpin terutama Ahli-ahli Parlimen menggubal perundangan Syariah agar terjamin.

09:43 pagi: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya menjelaskan, kes Nik Elin Nik Rashid adalah kes kedua selepas kes Iki Putra Mubarak. Katanya, jika hari ini mereka menang, maka perundangan Syariah di semua negeri juga akan dicabar. Beliau juga menegaskan bahawa ini adalah agenda golongan liberal di dalam negara ini sekalipun mereka enggan mengaku. Kerana katanya, itu adalah hakikatmperjuangan mereka untuk memperkecilkan Islam setakat amalan ibadah tertentu sahaja. Menurutnya, jika kerajaan kini terus memerintah, akan memungkinkan banyak kepentingan umat Islam tidak dapat dilaksanakan. Maka kerajaan kini perlu ditukarkan.

09:54 pagi: Seorang peguam, Nadia Aziz yang turut berucap menjelaskan bagaimana perundangan Islam diprejudiskan sebagai perundangan peribadi semata-mata yang diwariskan sejak zaman British. Katanya, kuasa yang sedikit pada Mahkamah Syariah, banyak hak telah diambil dan dimansuhkan hinggakan Mahkamah Syariah diletakkan di negeri semata-mata. Ekoran itu, banyak cabaran dibuat ke atas orang Islam. Menurutnya, para peguam pernah menasihati Perdana Menteri dan Menteri-menterinya terhadap perkara berkaitan. Terutama mempertahankan Islam di dalam Perlembagaan. Jelasnya, usaha mempertahankan perundangan Syariah yang digugat adalah satu jihad di mana disambut dengan laungan takbir hadirin.

10:01 pagi: Pengerusi Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menyifatkan penjajah telah berjaya meninggalkan benih untuk mencabar perundangan Syariah di negara ini pada hari ini. Katanya, jika gagal perundangan Syariah dipertahankan, maka akan runtuhlah ia serta tergugat Islam di dalam Perlembagaan, termasuk juga Raja-raja Melayu yang umat Islam. Menurutnya, wujud golongan yang memperjuangkan perundangan sekular dan liberal mahu menghapuskan perundangan Syariah di negara ini. Maka umat Islam katanya perlu bersedia darah dan nyawa sekalipun untuk mempertahankannya.

10:08 pagi: Pengerusi majlis, Kamaruzaman Mohamad mewakili pihak penganjur melancarkan kutipan derma

10:09 pagi: Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memperkenalkan diri sebagai peguam sivil dan bekas Menteri Undang-undang dalam pidato penuh semangat beliau mengimbau peristiwa Natrah sekitar tahun 1950-an dahulu di mahkamah Singapura yang mahu dimurtadkan. Ceritanya, Hakim-hakim sebelum merdeka pernah menyatakan bahawa undang-undang Muhammad SAW adalah undang-undang bagi Tanah Melayu. Enakmen Kanun Jenayah Syariah katanya, diluluskan DUN Kelantan adalah selaras maqasid syariah, namun ianya sedang dicabar. Beliau memetik kes Iki Putra Mubarak di Selangor, kini sedang berjangkit ke negeri-negeri lain.


10:18 pagi: Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung BERSATU menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan Perlembagaan untuk menjadikan perundangan Syariah hak kepada negeri bagi menggubalnya. Kerana tegasnya, umat Islam di negara ini menjadi perundangan yang utama dalam negara ini.

10:25 pagi: Presiden PUTRA, Dato’ Dr Ibrahim Ali walaupun dalam Perlembagaan menyatakan orang Melayu itu beragama Islam, tapi secara hakikatnya tidak, bahkan ada seperti iblis. Beliau mengingatkan mungkin suatu hari nanti Malaysia menjadi seperti Palestin apabila ia diambil oleh orang lain, maka perundangan Syariah juga tidak akan ada. Demikian itu peringatnya jangan diangkat pemimpin rasuah dan tidak baik akhlaknya, apatah lagi jika mereka sombong dan berlagak. Beliau memohon Majlis Raja-raja Melayu menyelesaikan masalah perundangan Syariah sedang dihadapi kini.


10:41 pagi: Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan peringatan bahawa jutaan umat akan berhimpun jika perundangan Syariah terus dicabar. Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab terhadap sistem perundangan Islam. Beliau menyifatkan perundangan Syariah sedang dicabar ketika ini adalah satu gugatan ke atas ketenteraman awam dan negara. Kestabilan negara ini katanya, sedang dirungkai gugat oleh golongan liberal dalam negara ini. Menurutnya, jika kerajaan hari ini gagal mempertahankan Syariah, Perikatan Nasional (PN) bersedia mengambil alih Putrajaya.

10:49 pagi: Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail mengetuai bacaan doa.

10:56 pagi: Himpunan berakhir dan orang ramai mula bersurai. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Ulasan