Sanusi dedah Pudin tak panggil mesyuarat setahun dah




KEMAMAN: Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Penyelaras dan Pengerusi Majlis Pembangunan Negeri, gagal mengadakan mesyuarat tersebut sejak hampir setahun berlalu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi Bersama Majlis tersebut mendedahkan perkara itu pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Markas PAS UDM Bandar Sri Bandi, di sini hari ini.

“Saya panggil Pudin je. Pudin ni bertanding pilihan raya kalah, bertanding dalam parti pun kalah. Tahu-tahu (tiba-tiba) jadi Menteri. Kemudian dilantik jadi Menteri Penyelaras. Dia sakit hati dekat kita (Kedah). Sakit hati pasal dia kalah itulah.

“(Maka) Serangan dia kepada Kerajaan Negeri (Kedah) waktu menghadapi pilihan raya negeri (PRN), mahupun pilihan raya sebelum itu (PRU15), serangan dia terlalu kuat. Sampai bila jadi Menteri Penyelaras dia malu mata nak jumpa kita.

“Sampai sekarang ni tak pernah mesyuarat lagi. Saya tak ada kuasa panggil mesyuarat. Mesyuarat agensi-agensi Persekutuan ni hanya boleh dipanggil oleh Menteri Penyelaras. Saya tak boleh walaupun saya Pengerusi Bersama.

“Sampailah setahun dah lah tak mesyuarat. Jadi bila agensi Persekutuan ada masalah di Kedah, kerajaan negeri tak tahu, pasal mesyuarat tak boleh buat. Oleh kerana tak dapat berjumpa, tak boleh bertemu mata, mesyuarat tidak dapat dilakukan.

“Maka projek-projek Persekutuan yang perlu kepada kelulusan kerajaan negeri khusus berkaitan tanah tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Ni bercakap rata ni, bercakap di Kuala Lumpur bercakap di mana kan noh. Kata depa pandai depa tera.

“Mesyuarat tak boleh buat. Saya dua minggu lepas mesyuarat dengan Perdana Menteri saya ‘complaint’ kata Dato’ Seri lantik satu Menteri Penyelaras dia tak mesyuarat setahun dah.

“Oleh kerana dia buat serangan terlalu keras waktu pilihan raya melebihi kadar yang patut, maka bila lepas pilihan raya nak mesyuarat malu mata. Malu muka nak jumpa. Sampai la ni tak mesyuarat lagi.

“Saya minta Dato’ Seri Perdana Menteri tukar Menteri itu. Saya cakap depan-depan bagilah Menteri lain. Tukar Menteri itu. Pasal dia tak leh mesyuarat setahun dah. PM pun senyum tak tahu nak kata apa,” ceritanya.

Kata Sanusi juga, apabila diberi amanah dalam kepimpinan menjadi kerajaan maka perlulah bersikap seperti kerajaan sepertimana beliau membezakan ceramah politiknya dengan bercakap selaku Menteri Besar.

Bagaimanapun ujarnya, lawan politik menyamakan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar dan Pengarah Pilihan Raya lalu kerana tidak tahan telinga maka menjadi seperti lembu menanduk orang kerana tidak dapat air. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

Ulasan