Segera gubal akta kawal sebar agama bukan Islam




KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penggubalan Akta Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam Wilayah Persekutuan.


Menurutnya, Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan dalam konteks Wilayah Persekutuan untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

“Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan sama seperti negeri-negeri,” ujarnya.

Tuan Guru Zulkifli merujuk kepada Aktiviti 1 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), fungsi di dalam (A) iaitu ‘memperkasakan penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak di Malaysia’.

Beliau menyatakan perkara ini semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam hal ini, katanya sebanyak 10 negeri di Malaysia telah meluluskan Enakmen Berkaitan Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam sejak tahun 1980-an lagi.

“Kecuali empat negeri yang masih belum lagi berbuat demikian, iaitu Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Pulau Pinang; Sabah dan Sarawak.

“Soalan saya yang pertama, adakah kerajaan akan menyegerakan pembentangan akta kawalan ini di parlimen memandangkan kebenaran itu memang telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan?” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka menjelaskan, tanpa undang-undang bertulis, aduan berkaitan perkara ini tidak dapat disiasat dan dibanteras oleh pihak berkuasa.

“Sekiranya kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan tidak diterjemahkan melalui penggubalan akta ini di peringkat Wilayah Persekutuan, peruntukkan perlembagaan tersebut akan menjadi sia-sia kerana ia tidak boleh dikuatkuasakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

Ulasan