Wajib putus hubungan dengan aktivis HAM pro-Israel




PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap lantang bagi membela nasib rakyat Palestin yang berdepan dengan kekejaman Israel dalam Sesi Debat Umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bagi sesi ke-78 pada 22 September.
Perdana Menteri juga bersuara lantang dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh pada 20 Oktober menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan ke atas Israel ekoran siri serangan terbarunya ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri juga menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Bukit Jalil pada 24 Oktober dalam mana beliau menyelar kegilaan Israel mengebom kawasan orang awam, hospital dan kediaman yang menyebabkan ramai penduduk Gaza mati syahid.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, mereka yang memperjuangkan nasib umat Islam Uyghur di Xinjiang bersolidariti dengan Israel, termasuk Omer Kanat, Pengarah Eksekutif Uyghur Human Rights Project (UHRP) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif World Uyghur Congress (WUC).

Pada 7 Oktober, Omer Kanat menghadiri himpunan meraikan Uyghur yang dihoskan oleh Adas Israel Congregation di Washington, D.C. Pada 25 Oktober pula, Omer Kanat atas nama Uyghur menghadiri majlis penyampaian anugerah hak asasi oleh Lantos Foundation kepada Irwin Cotler.

Aktivis-aktivis Uyghur seperti Arslan Hidayat, Salih Hudayar dan Henimhan Tudi secara terbuka mengutuk pejuang Palestin dan menyokong rejim Zionis Israel dengan berkata ‘I’m on the side of Israel, I’m on the side of America, Europe, and NATO. I strongly oppose Palestinian terrorists.’

Di Malaysia pula, penyokong rakyat Palestin, khasnya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Mission yang diketuai oleh Naib Presiden ABIM, sentiasa mengadakan kerjasama rapat dengan aktivis-aktivis Uyghur yang pro kepada rejim Zionis Israel ini.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkali-kali menyerahkan Memorandum Bantahan Keras kepada Kedutaan Besar China bagi mendesak agar Kerajaan China menghormati hak kebebasan beragama serta memberi perlindungan sama rata kepada etnik Uyghur.

Pada 16 April 2022 ABIM menganjurkan satu forum bagi menegakkan keadilan buat etnik Uyghur yang dikatakan mengalami penghapusan etnik oleh China dengan memberi ruang kepada Omer Kanat dan Geoffrey Nice selaku Pengerusi Tribunal Uyghur untuk bersuara.

Global Peace Mision yang diketuai oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya juga giat menggerakkan kempen kemanusiaan bagi membuka mata masyarakat dunia agar sama-sama berjuang untuk kebebasan dan perlindungan masyarakat Uyghur.

Pada 20 Mac lalu, Omer Kanat berkunjung ke Kuala Lumpur bertemu dengan pemimpin kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi mendapatkan sokongan mereka ke atas perjuangan masyarakat Uyghur.

Mereka yang terlibat aktif dengan aktivis-aktivis Uyghur ini adalah mereka yang rapat atau mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri. ABIM sendiri diketahui mempunyai kedudukan istimewa di sisi Kerajaan Perpaduan kerana ia pernah diketuai oleh Perdana Menteri.

Oleh itu, bagi menjaga nama baik Kerajaan Perpaduan, pertubuhan seperti ABIM dan Global Peace Mision wajib memutuskan hubungan dengan aktivis-aktivis Uyghur yang pro-Israel ini.

Serentak dengan itu, kemasukan mana-mana aktivis dan pelarian Uyghur ke Malaysia juga wajib disekat bagi menampakkan ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin.

DR MUKHTARUDDIN MUSA
Pengarah
Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan
Yayasan Strategik Lestari (YSL) – HARAKAHDAILY 7/11/2023

Ulasan