Tarik balik larangan jual arak di KL, langkah tak bertanggungjawab




KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli jawatankuasa Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.


Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya, dalam satu kenyataan media, menyelar tindakan bahagian perlesenan DBKL kerana menarik balik garis panduan lesen penjualan arak oleh kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Kuala Lumpur yang dikenakan pada 1 Nov 2021.

Ini berikutan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL pada 28 November lalu, mengatakan ahli jawatankuasa Lembaga Perlesenan Eksais yang bersidang selepas lebih setahun, telah memperbaharui sejumlah 1,519 permohonan lesen minuman keras di bandar ini.

“Naib Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais DBKL, Pooi Weng Keong berkata kelulusan itu bagi permohonan penjualan arak yang dibuat oleh kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina untuk lesen minuman keras.

“Ahli jawatankuasa baharu dilantik pada pertengahan Oktober dan mereka telah mengadakan mesyuarat pertama pada 23 Nov lalu. Mereka ditugaskan untuk mengkaji dan memperbaharui lesen minuman keras untuk pertubuhan perniagaan di Kuala Lumpur.

“Walaupun ia menjadi isu pada 2021, Pooi menjelaskan jawatankuasa baharu itu tidak melihat peraturan sedemikian daripada perspektif undang-undang,” katanya.

Namun katanya lagi, larangan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ramai orang bukan Islam di ibu kota, kerana ia dilihat sebagai pelanggaran hak mereka sebagai pengguna.”

Sehubungan itu, Ahmad berkata garis panduan yang dikenakan sebelum ini dilaksanakan telah mengambil kira pelbagai faktor termasuklah sensitiviti kawasan kepadatan penduduk Melayu-Islam, waktu penjualan dan sebagainya.

“Malah ia dilakukan berikutan kes kemalangan maut yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menjadi kebimbangan masyarakat dalam negara ketika itu.

“Malang sekali apabila bahagian perlesenan DBKL telah mengambil keputusan mengundur semula ke belakang (reversal).

“Malah, keputusan menarik balik garis panduan berkenaan turut mendapat sokongan padu sebahagian pemimpin utama daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP),” ujarnya.

Ahmad turut mempersoalkan mengapa sukar pihak DBKL untuk menerima garis panduan berkenaan selepas ramai dalam kalangan rakyat dalam negara ini telah menjadi mangsa kemalangan maut, pergaduhan dan sebagainya?

“Bantahan keras yang diterima ketika melaksanakan garis panduan berkenaan pada tahun 2021 telah menjelaskan perkara ini.

“Inilah padah apabila golongan ultra kiasu menguasai dasar dan pentadbiran,” tegasnya.

“Oleh itu, DUPP menyelar pendirian berkenaan dan menganggap ia mendapat tekanan daripada golongan yang berkepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2023

Ulasan