Enakmen Jenayah Syariah Kelantan digubal berasaskan syarak

Enakmen Jenayah Syariah Kelantan digubal berasaskan syarak
February 13, 2024

Mohd Asri Mat Daud


KOTA BHARU: Kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan digubal berasaskan hukum syarak bersumber al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, penggubalan enakmen itu melibatkan Jabatan Agama Islam, mufti, pendakwa raya, tokoh-tokoh ulama, peguam dan pengamal perundangan.

“Proses penggubalan enakmen terbabit bermula pada tahun 2014 dan siap sepenuhnya pada 2019,” katanya.

Menurutnya, enakmen itu kemudiannya mendapat kelulusan legislatif Dewan Negeri Negeri (DUN) Kelantan pada tahun sama, yang disiarkan dalam warta melalui perkenan Sultan Kelantan pada 31 Disember 2020 dan berkuat kuasa pada 1 November 2021.

“Namun yang menjadi pertikaian sekarang ialah kuasa DUN untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan adalah kabur dan tidak jelas.

“Jadual Kesembilan Perlembagaan, Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara tersebut dan mengundang polemik berpanjangan sehingga kesannya terdedah tafsiran secara perundangan,” katanya pada kenyataan di sini.

Pada Jumaat (9 Feb) lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Sebelum itu, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mengemukakan petisyen berkaitan enakmen tersebut terhadap kerajaan Kelantan.

Mohd Asri juga berkata, Islam berada di bawah bidang kuasa negeri, maka perundangan Islam berkaitan Hukum Syarak diletakkan di bawah Senarai Negeri melalui Kuasa Legislatif Dewan Undangan Negeri.

Tambah beliau, dengan mengambil punca kuasa perkara agama melibatkan umat Islam di bawah kuasa Raja sebagai ketua agama, Enakmen Kanun Jenayah Islam (EKJS) (I) 2019 Kelantan digubal mengikut kaedah bidang kuasa negeri.

“Justeru, penggubalan EKJS (I) 2019 Kelantan melalui proses perundangan mengikut bidang kuasa yang diberi dan diperuntukkan perlembagaan dengan mengambil rujukan kes di bawah hukum syarak iaitu takzir.

“Pihak yang mentafsirkan hukuman takzir bukan hukum Allah adalah tidak tepat kerana EKJS (1) 2019 Kelantan dibuat mengambil kira fekah jenayah melalui kaedah hukuman di bawah bidang kuasa negeri yang dibenarkan perlembagaan,” ujarnya.

Dengan kata lain, tambah beliau, kesalahan jenayah dalam enakmen tersebut menepati hukum syarak atas bidang kesalahan takzir, quantum hukuman yang terhad mengikut bidang kuasa negeri dan tertakluk kepada seluruh umat Islam di negeri Kelantan mengikut pemakaian kuasanya sahaja.

“Begitu dangkal mereka yang mempertikai dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Kelantan setelah 16 Seksyen Enakmen berjaya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan