EPIC sumbang tajaan RM25,000 kepada pasukan hoki



EPIC sumbang tajaan RM25,000 kepada pasukan hoki
February 7, 2024

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyumbangkan tajaan sebanyak RM25,000 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyokong persediaan mereka menghadapi saingan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2024.

Penaung Pasukan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, tajaan tersebut dijangka memberikan sokongan penting dalam memperkukuhkan persediaan pasukan dan meningkatkan prestasi para pemain bertepatan dengan liga yang sudah membuka tirai awal Februari lalu.

“Sumbangan tajaan pada tahun ini, ditambah sebanyak RM15,000 kepada RM25,000 berbanding tajaan pada tahun 2023 yang berjumlah RM10,000.

“Di samping, ia juga merupakan kesinambungan dalam usaha EPIC Berhad untuk merancakkan prestasi dan pembangunan sukan di negeri Terengganu, sekali gus melahirkan atlet-atlet tempatan bertaraf dunia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Tajaan kepada Pasukan Hockey Team bertempat di Tingkat 5, Pejabat EPIC Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Sesi penyerahan tajaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Ir Mukhtar Suhaili, kepada Presiden Persatuan Hoki Terengganu Mohd Fikri Harun dengan disaksikan oleh Penaungnya, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Tambah Ir Saiful, pihak syarikat optimis dan yakin dengan barisan atlet baharu pasukan THT, sebagaimana pencapaian cemerlang pasukan berkenaan merangkul kejuaraan tiga piala musim lalu.

“Cabaran besar untuk musim 2024 adalah untuk mengekalkan kembali ketiga-tiga kejuaraan tersebut apabila sebahagian pemain kita telah masuk ke pasukan lawan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada EPIC Berhad atas sokongan yang diberikan kepada pasukan THT bagi merealisasikan misi memburu kejuaraan musim ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

Ulasan