Islam terbaik dalam mencegah jenayah

Islam terbaik dalam mencegah jenayah
February 9, 2024



TERENGGANU telah menggubal undang-undang tubuh negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta’dil As-Suluk Pada tahun 1911 ketika di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang yang mengangkat Islam sebagai rujukan utama kepada hukuman.

Ia juga berjaya menghalang British daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri selama hayat baginda. Undang-undang itu telah digubal oleh sekumpulan ulamak pada waktu itu seperti Tok Ku Paloh. British hanya berjaya menjadi pemerhati sahaja.

Sebelum itu, Terengganu juga dikenali dengan Batu Bersurat yang memberikan tanda bahawa Islam sudah tersebar di Terengganu. Suruhan dan larangan dalam Batu Bersurat itu jelas menunjukkan ia dari al-Quran dan sunnah.

Selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin III, British mulai campur tangan dalam pentadbiran negeri setelah Sultan Muhammad II secara paksa menandatangani perjanjian dengan British. Maka bermulalah kejahatan British di Terengganu.

Sewaktu Melaka menjadi pusat perdagangan dunia, Melaka telah berjaya mengangkat undang-undang Islam sebagai undang-undang tunggal yang mengawal semua perlakuan jenayah. Sehingga Melaka diserang Portugis konon atas alasan mahu merebut laluan perdagangan tetapi hakikatnya sebenarnya atas nama 3G; Gold, Glory Dan Gospel.

Apabila Melaka berpecah, timbul negari-negeri Melayu lain yang turut mengangkat Islam sebagai rujukan perundangan. Ia berterusan sehinggalah British datang dan masuk campur dalam pentadbiran negeri Melayu. Disebalik janji agama dan budaya tidak akan mereka ganggu, mereka secara perlahan menenggelamkan perundangan Islam di Tanah Melayu.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dan Tanah Melayu mahu mencapai kemerdekaan, undang-undang negeri-negeri Melayu yang berasaskan Islam itu, kemudiannya ditukar kepada Perlembagaan Reid yang mana undang-undang Syariah dipecahkan dan telah diletakkan di bawah undang-undang sivil. Apa-apa peruntukan perundangan syariah yang berlawan dengan peruntukan dalam perlembagaan sivil, boleh dibatalkan. Ironinya Suruhanjaya itu bakal menyambut ulang tahun ke-66 tahun pada 21 Februari ini.

Terengganu dan Kelantan berjaya memenangi PRU pada tahun 1990 dan 1999 yang memberikan peluang kepada kedua kerajaan mengangkat semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) di negeri masing-masing. Namun Perlembagaan Persekutuan itu, menjadi batu penghalang terbesar. Jadilah EKJS sebagai rujukan dalam hal agama sahaja, tidak boleh melebihi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini sejarah menyaksikan sekali lagi kekecewaan kita, bagaimana beberapa peruntukan dalam EKJS Kelantan, telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 8-1. British mungkin tersenyum ketika ini, melihat benih yang mereka tanam dahulu, sedang subur mekar, bukan dari darah keturunan mereka, tetapi daripada darah dan keturunan bangsa tanahair ini sendiri.

Saya yakin PAS akan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan atas sebab PAS memperjuangkan Islam secara muajahah silmiyyah iaitu pertembungan secara damai. Apa yang penting sekarang ini ialah kita kembalikan semuanya kepada Allah. Hanya Allah yang boleh membantu kita.

Di sinilah kita boleh melihat, betapa pentingnya kuasa. Dengan kuasa kita boleh mengembalikan kekuatan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Februari 2024 – HARAKAHDAILY 9/2/2024

Ulasan