Menang RM3.3 juta guna AI pecahkan misteri skrol 2,000 tahun


Menang RM3.3 juta guna AI pecahkan misteri skrol 2,000 tahun
Februari 6, 2024 @ 1:03pm
WASHINGTON: Tiga penyelidik memenangi hadiah wang bernilai AS$700,000 (RM3.3 juta) selepas berjaya membaca skrol berusia 2,000 tahun yang terbakar dalam letusan Gunung Vesuvius dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Papirus Herculaneum itu mengandungi 800 gulungan skrol Yunani yang berubah kepada bentuk terkarbon ketika letupan gunung berapi yang menguburkan kota kuno Rom, Pompeii pada 79 Sebelum Masihi (SM).

Artifak itu berada dalam keadaan gulungan abu yang sudah mengeras sebelum ini disimpan di Institut Perancis, Paris dan Perpustakaan Nasional Naples, sekali gus mengalami kerosakan teruk hingga mudah hancur jika cuba dibuka.

Justeru, sebagai alternatifnya, Cabaran Vesuvius mengimbasnya dengan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan menawarkan AS$1 juta (RM4.76 juta) yang dibahagikan kepada beberapa hadiah untuk menggalakkan penyelidikan.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Tiga penyelidik yang memenanginya ialah pelajar doktor falsafah (PhD) di Berlin, Youssef Nader; pelatih SpaceX dari Nebraska, Luke Farritor dan pelajar robotik Swiss Julian Schilliger.

Kumpulan penyelidik itu menggunakan AI untuk membantu mereka menentukan dakwat pada papirus dan mengesan tulisan Yunani yang hampir-hampir tidak dapat dibaca melalui pengecaman pola.

Sementara itu, Pengerusi Herculaneum Society, Robert Fowler dipetik dalam majalah Bloomberg Businessweek berkata, sebahagian teks dalam skrol itu boleh mengubah sejarah dalam period penting dunia kuno.

Cabaran itu memerlukan penyelidik untuk menyahkod empat petikan mengandungi sekurang-kurangnya 140 aksara dengan minimum 85 peratusnya boleh dikesan kembali.

Tahun lalu, Farritor berjaya mentafsirkan perkataan pertama daripada salah satu skrol yang bermakna 'ungu' dalam bahasa Yunani.

Secara keseluruhannya, usaha itu bermakna sudah 5 peratus skrol itu berjaya dinyahkodkan.

Pengarang skrol itu berkemungkinan ahli falsafah Epicurean, Philodemus yang menulis mengenai muzik, makanan dan bagaimana menikmati hidup, kata penganjur, Nat Friedman di media sosial X.

Skrol itu ditemui di sebuah vila dipercayai pernah dimiliki bapa mentua Julius Caesar yang sebahagian besar belum dicari gali lagi, sekali gus diyakini mengandungi kutubkhanah yang mungkin menyimpan ribuan manuskrip.

Penganjuran sayembara itu diilhamkan saintis komputer di Universiti Kentucky, Brent Seales dan Friedman, iaitu pengasas Github, syarikat perisian dan platform pengekodan yang dibeli Microsoft.

Pemulihan teks kuno yang tidak pernah dilihat itu, menjadi kejayaan besar kerana berdasarkan data daripada Universiti California, Irvine, hanya 3 hingga 5 peratus daripada teks kuno Yunani berjaya diselamatkan.

Mengulas kejayaan itu, Pensyarah University of Naples Federico II, Dederica Nicolardi memberitahu akhbar The Guardian bahawa ia menjadi titik tolak kepada revolusi dalam disiplin papirologi Herculaneum dan falsafah Yunani umumnya kerana ia adalah satu-satunya kutubkhanah yang masih ada dari zaman Rom kuno.

Fasa seterusnya sayembara itu akan dibuka kepada penyelidik untuk memecahkan misteri 85 peratus daripada kandungan skrol. - AFP

Ulasan