PAS umum tubuh JK Bertindak perkasa, mantap syariah

PAS umum tubuh JK Bertindak perkasa, mantap syariah
February 13, 2024

Takiyuddin (kanan) di samping Idris (tengah) dan Mohd Amar dalam sidang media selepas Sidang Meja Bulat Khas di Pejabat Agung PAS, di Kuala Lumpur pada hari ini, 13 Feb 2024.



KUALA LUMPUR: PAS telah bersetuju menubuhkan empat jawatankuasa (JK) bertindak ke arah mencapai pemerkasaan dan pemantapan Undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini, umum Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Pertamanya ialah Jawatankuasa Bertindak Kajian dan Penyediaan Dokumentasi Undang-undang termasuk cadangan-cadangan pindaan Perlembagaan dan sebagainya yang dipengerusikan oleh peguam, Yusfarizal Yussoff.

“Pertamanya ialah Jawatankuasa Bertindak Kajian dan Penyediaan Dokumentasi Undang-undang termasuk cadangan-cadangan pindaan Perlembagaan dan sebagainya yang dipengerusikan oleh peguam Yusfarizal Yussoff.

“Keduanya, Jawatankuasa Bertindak Komunikasi Strategik yang dipengerusikan oleh YB Ahli Parlimen Pasir Mas (Ustaz Ahmad Fadhli Shaari).

“Ketiga, Jawatankuasa Mobilisasi Pertahan Syariah yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Speaker DUN Kelantan (Dato’ Sri D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah); dan keempat, Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Rentas Parti yang dipengerusikan YB Ahli Parlimen Bagan Serai (Datuk Idris Ahmad),” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengumumkan perkara demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Idris dan Mohd Amar yang masing-masing merupakan Naib Presiden PAS, selepas Sidang Meja Bulat Khas di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sidang tersebut juga menurut beliau, mengambil keputusan untuk menganjurkan satu konvensyen pemantapan Undang-undang Syariah di Malaysia yang akan dihoskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan 24 Februari ini di negeri tersebut.

Katanya lagi, pesertanya adalah daripada wakil-wakil jabatan agama negeri-negeri, para pengamal undang-undang sivil dan syariah, para ilmuwan dan juga pegawai-pegawai kerajaan.

Tambah beliau, dalam konvensyen ini akan diadakan pembentangan kertas-kertas kerja oleh pakar-pakar perundangan syariah dan juga pakar perundangan sivil, selain akan menyediakan satu memorandum cadangan.

“Juga pengesyoran yang akan kita kemukakan untuk pertimbangan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam atau MKI yang dipengerusikan oleh Tuanku Sultan Selangor berhubung dengan cadangan-cadangan daripada pihak kita.

“Termasuklah satu cadang daripada pihak kita supaya keahlian ataupun komposisi keahlian MKI untuk membincangkan berhubung dengan Undang-undang Syariah ini merangkumi wakil-wakil daripada kerajaan-kerajaan negeri.

“(Iaitu) sebagai pihak-pihak yang terkesan daripada apa-apa tindakan terhadap Undang-undang Syariah. Kita (juga) memutuskan supaya Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) akan membawa Usul Rang Undang-undang Persendirian.

“Yang akan mencadangkan pindaan Perlembagaan ke arah memperkasakan dan memantapkan Undang-undang Syariah dan institusi Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia ini,” ujarnya yang juga Ketua Whip PN.

Sementara Idris pula berkata, perbincangan sidang meja bulat tersebut berkisar kepada pemantapan Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah di negara ini.

“Apa pelan-pelan yang kita nak buat yang kita putuskan untuk seterusnya dan kita mengharapkan ianya akan dapat dukungan daripada semua pihak merentas parti tanpa kita mengira latar belakang mana-mana parti.

“Yang pentingnya ialah ini adalah merupakan isu-isu bersama yang bukan kita nak apa menyalahkan satu sama lain dan sebagainya.

“Yang penting kita hendak supaya kedudukan Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah ini dapat diperkasakan dan dimantapkan lagi di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan