Aneh pengikut ajaran sesat tuduh umat Islam menyeleweng



Aneh pengikut ajaran sesat tuduh umat Islam menyeleweng
Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi - Mac 17, 2024 @ 9:58am
SEBAHAGIAN pengikut Ahmadi-Agama Keamanan dan Cahaya yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, tahun lalu.

ISU ajaran sesat bukanlah asing kerana ia datang seiring kehidupan manusia. Terkini, muncul ajaran dikenali Ahmadi-Agama Keamanan dan Cahaya menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan pelbagai dakyah dan ramalan pelik, di samping memimpin pasukannya untuk menjadi pengikut Imam Mahdi didakwa muncul masa kini dan percaya utusan Tuhan itu adalah dalam kalangan manusia hebat daripada pelbagai agama.

Meninjau realiti umat Islam dewasa ini, sebahagiannya masih belum memahami hingga terkeliru mengenai hakikat sebenar kesesatan terdapat dalam sesuatu ajaran hingga berlaku tuduh-menuduh dan mempertikaikan akidah serta pegangan masing-masing.

Paling menyedihkan, pendukung ajaran sesat berjaya mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk bersama meneruskan kegiatan itu. Lebih daripada itu, pendukung ajaran sesat sanggup menuduh dan melabelkan orang beriman yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar.


Kemelut ajaran sesat ini boleh berlaku apabila umat Islam sendiri jahil terhadap agama dalam kehidupan mereka. Mereka jahil makna iman dan Islam sebenar yang menuntut ketundukan dan kepatuhan penuh tulus lagi kudus semata-mata kepada Allah SWT sahaja.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Begitu juga ada umat Islam tidak arif terhadap batas iman dan Islam hingga mendekatkan mereka ke sempadan kesesatan dan kekufuran. Mereka tidak menyedari amalan khurafat dan ajaran sesat bertentangan dengan Islam, sekali gus boleh menjerumuskan seseorang ke kancah kesesatan dan kekufuran.

Justeru, setiap Muslim diwajibkan menimba ilmu Islam daripada sumber sebenar. Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris Nabi menyebarkan ilmu, di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran seperti diperintahkan Allah SWT.


Tambahan pula ketiadaan maklumat terperinci dan garis panduan khusus mengenai tarekat sebenar yang berbeza dengan ajaran menyeleweng daripada Islam menyebabkan ada masih terkeliru dan salah faham terhadap konsep bertarekat menurut Islam.


Oleh itu, hampir semua ciri dan ajaran disebarkan oleh sesuatu ajaran sesat berselindung di sebalik penggunaan istilah Arab mengelirukan pengikutnya seperti ajaran Hakikat Insan, ajaran Nur Zaman, Imam Mahdi dan ajaran Taslim dengan konsep seperti wahdah al-wujud, al-fana', kasyaf atau ilmu laduni.

Penggunaan istilah berkenaan mudah meyakinkan orang tidak mempunyai pengetahuan secukupnya.

Berpunca kejahilan inilah menyebabkan berlaku kekosongan jiwa dalam diri manusia. Bermakna, seseorang kosong daripada nilai kerohanian dan agama. Ini mungkin akibat penolakan masyarakat terhadap agama, termasuk disebabkan perasaan kagum dengan pencapaian sains dan teknologi.

Mereka meyakini sains boleh mencapai segala apa diingini. Namun, apa yang berlaku sekarang, kegagalan sains dan teknologi memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh itu, jiwa manusia kosong dan meluap-luap cuba mencari erti hidup, maka terjadilah apa dikatakan spiritual explosion ataupun ledakan kerohanian.

Apabila kekosongan jiwa berlaku, seseorang akan cuba mencari apa sahaja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara ekstrem sama ada kepada ekstrem mencari ajaran dianggapnya keagamaan, pada hal ajaran sesat atau kepada ekstrem mencari keseronokan dan kegembiraan seperti mengambil dadah, arak atau muzik bersifat kekerasan.

Kejahilan, pertimbangan salah

Fitrah manusia mahu beragama dan ingin mencari kebenaran menyebabkan ramai mudah terjebak dengan ajaran sesat. Kejahilan menyebabkan mereka terkeliru dan membuat pertimbangan salah apabila berdepan antara kebenaran dengan kebatilan hingga hilang punca dan pedoman manakah perlu diikuti atau dijauhi.

Gejala ajaran dan amalan sesat menjadi semakin teruk apabila seseorang tidak dapat menerima kebenaran, sebaliknya menganggap kebatilan dianuti pula sebagai kebenaran.

Setiap ajaran sesat mempunyai ciri dan daya tarikan mampu menimbulkan minat serta menggoda, sekali gus sukar ditolak. Antaranya, ciri mudah dan ringan.

Kebanyakan ajaran sesat muncul di negara ini secara umumnya mengajarkan amalan dianggap berat mesti dilakukan dalam ajaran Islam tidak perlu ditunaikan, iaitu sudah cukup dengan berniat sahaja. Dengan demikian, ajaran sesat itu melepaskan pengikutnya daripada tanggungjawab agama seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.

Kerahsiaan antara ciri utama terdapat pada sesuatu ajaran sesat. Dalam hal ini, apabila seorang guru dan pemimpin ajaran sesat berjaya menarik seseorang pengikut ke dalam ajarannya, maka individu itu akan diminta bersumpah setia tidak akan membocorkan rahsia ajaran dan kumpulannya.

Malah, mereka juga akan bersumpah taat setia kepada guru dan pemimpin yang mereka yakini sebagai berkuasa mutlak, suci serta penyelamat umat. Imej rahsia inilah memudahkan pergerakan ajaran sesat, di samping menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mencari bukti pergerakan mereka.

Kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama dengan ulama menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat menyesatkan ini.

Setakat ini, hukuman denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali kepada pemimpin atau pengamal ajaran sesat kurang setimpal dengan kesalahan jenayah akidah serius.

Hukuman lebih keras di samping menggubal akta murtad amat perlu disegerakan bagi membanteras gejala ajaran sesat semakin meruncing. Malah, enakmen antara negeri wajar diseragamkan bagi menghapuskan gejala ajaran sesat daripada akar umbi lagi.

Di samping itu, ketiadaan unit khusus berkaitan pemurniaan akidah dan ajaran sesat di bawah seliaan bahagian penguatkuasaan di jabatan agama masing-masing, kekurangan kakitangan, prosedur tindakan mengambil masa panjang dan kurang kerjasama daripada masyarakat Islam setempat antara faktor penyebaran ajaran sesat. Ini kerana unit penguatkuasaan sama juga bertanggungjawab membuat rondaan pencegahan maksiat.

Hakikatnya, setiap Muslim wajib kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW yang menjadi khazanah tiada ternilai berupaya memimpin umat Islam ke arah kebenaran, seterusnya menyelamatkan mereka daripada lembah kesesatan.

Penulis adalah Profesor Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu (UniSZA)

Ulasan