Dewan Negara tegang, Senator bantah perbahasan
March 21, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Negara yang bersidang menjadi ‘panas’ selepas Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker mencabar Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh agar menumpukan perhatian kepada DAP yang mahu menghapuskan hak Bumiputera.
“Saya ingin ajak Ketua Pemuda Umno, Muhammad Akmal Saleh untuk menumpukan kejantanan pemuda untuk memantau dan memastikan DAP supaya menurunkan deklarasi ini yang secara nyata mahu menghapuskan hak Bumiputera.
“Bukannya dengan sengaja mengapi-apikan isu kesilapan yang mana pihak berkenaan sudah insaf dan mengaku salah.
“Janganlah Ketua Pemuda Umno menjadi penguatkuasa, penterjemah undang-undang dan juga hakim yang mengarah tindakan ikut hati dan emosi tanpa keluhuran perlembagaan atau kedaulatan undang-undang.
“Tindakan angkuh dan tidak endah undang-undang inilah yang menyebabkan rakyat petah dan cemus, tindakan sebegini bukanlah suci murni tetapi membuli,” katanya.
Ucapan itu menyebabkan suasana dewan menjadi tegang selepas Senator Dr Arman Azha Abu Hanifah bangun menjelaskan isu tersebut, turut bangun mencelah Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.
“Isu ini sangat sensitif, bagi saya tidak adil, bukan angkuh tetapi cara YB menyentuh parti saya ini tidak betul,” tegasnya yang kemudian perbalahan itu ditenangkan oleh Yang Di Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed agar perbahasan Ti Lian diteruskan.
Sebelum itu, Ti Lian berkata, DAP adalah parti yang menimbulkan isu perpaduan kaum ketika ini kerana masih tidak menurunkan Deklarasi Setapak walaupun telah menjadi kerajaan ketika ini.
“Yang mencabar hak-hak Bumiputera dan ingin menghapuskan hak Bumiputera, ini adalah parti DAP, yang mana hingga ke hari ini, mereka tidak menurunkan Deklarasi Setapak yang berjanji secara irrevocable iaitu tidak boleh dibatalkan untuk menghapuskan hak Bumiputera,” katanya lagi.
Ti Lian turut mengelirukan dewan dengan menyatakan Malaysia adalah negara sekular, pelbagai bangsa dan inklusif.
“Sebenarnya, Negara Malaysia telah diasaskan atas premis negara ini adalah sekular, multi-racial dan inklusif,” katanya.
Sekali lagi, Arman bangun kerana menyifatkan kenyataan itu mengelirukan Dewan.
“Kenyataan ini mengelirukan Dewan, mana boleh kata Malaysia negara sekular sedangkan dalam Perlembagaan Negara kita, kita berpegang kepada Perlembagaan Negara. Kalau mengelirukan Dewan, ini tidak betul,” tegasnya.
Arman juga meminta Ti Lian menarik balik kenyataan berkaitan teguran beliau sebagai bercakap mengikut emosi dan tidak bernas.
“Saya minta YB tarik balik, YB saya minta tarik balik saya bercakap berdasarkan Perlembagaan bila YB kata saya emosi itu lain.
“Mana boleh YB mengelirukan dewan dengn mengatakan Malaysia adalah negara sekular negara kita negara rasmi, agama Islam sebagai agama rasmi, faham tak!
“Sekarang ini jangan mengelirukan Dewan kena betulkan Dewan, ini bukan negara sekular,” tegasnya.
Namun disebabkan kesuntukan masa, Ti Lian meneruskan perbahasannya sehingga tamat. – HARAKAHDAILY 21/3/2024
Ulasan
Catat Ulasan