DPMM tegur PETRONAS: Tak cukup lagi syarikat Bumiputera dianak tiri?

DPMM tegur PETRONAS: Tak cukup lagi syarikat Bumiputera dianak tiri?
March 12, 2024

KUALA LUMPUR: Tindakan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melantik syarikat bukan bumiputera, Solarvest Energy bagi mengendalikan pemasangan sistem tenaga solar di 300 stesen minyaknya telah dipersoalkan, tidak cukupkah lagi syarikat Bumiputera telah dianaktirikan selama ini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya kecewa susulan PETRONAS hanya memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran tersebut tanpa mengundang mana-mana syarikat Bumiputera untuk turut serta.

Menurut beliau, kos yang ditetapkan bagi setiap stesen minyak untuk pemasangan tenaga yang boleh diperbaharui tersebut adalah kira-kira RM1 juta bagi setiap satu projek yang menjadikan nilai keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM300 juta.

“Adakah ini isyarat yang hendak dibawa oleh PETRONAS selepas komitmen yang diutarakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya semasa Diskusi MADANI 3 di Kongress Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 membincangkan penciptaan peluang bumiputera dalam peralihan tenaga?” soalnya dalam satu kenyataan, pada hari ini..

Tambah beliau, tindakan sedemikian tidak ubah seperti pepatah ‘menanam tebu di tepi bibir’ kerana bersikap tidak acuh kepada syarikat Bumiputera yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek tersebut.

Norsyahrin menegaskan, 30 peratus daripada senarai syarikat bertaraf Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) dalam negara ini adalah milik bumiputera, dan jika termasuk dengan senarai yang berada di Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) maka jumlahnya adalah sebanyak 60 syarikat Bumiputera.

“PETRONAS sepatutnya memberikan peluang dan ruang kepada syarikat Bumiputera untuk terlibat dengan projek ini sebagai satu daripada inisiatif dalam projek peralihan tenaga oleh PETRONAS seperti yang mereka bincangkan diskusi MADANI 3.

“PETRONAS sepatutnya bersikap lebih wajar dalam mengangkat agenda Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi seperti yang dilaungkan mereka agar seiring dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan inisiatif pengeluaran serta peralihan tenaga dalam jangka waktu terdekat,” tegasnya.

Beliau sehubungan itu, meminta syarikat tersebut supaya bersifat lebih adil dengan menawarkan syarikat-syarikat Bumiputera daripada hanya memanggil tiga syarikat sahaja.

Tindakan PETRONAS yang menidakkan peluang dan ruang kepada syarikat Bumiputera pada ketika ini, ujar Norsyahrin, seolah-olah mengiyakan sindiran sinis dan kecaman bahawa KEB hanya setakat bersidang semata-mata.

“Tidak cukupkah syarikat Bumiputera dianaktirikan dalam tempoj ekonomi Malaysia selama 100 tahun oleh tangan-tangan ghaib, malahan keadaan tersebut berterusan sehingga ke hari ini apabila kerajaan Madani membawa agenda reformasi struktural atas nama Agenda Bumiputera?”

“Seharusnya Reformasi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 perlukan iltizam dan tindakan yang berterusan dan berani membuat keputusan yang akan menguntungkan bangsanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

Ulasan