Menyumbang senjata kepada Israel bersama sumbangan kemanusiaan kepada Gaza
March 12, 2024
KINI, tersebar berita yang dicanangkan oleh media ke seluruh pelosok dunia bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan beroperasi menghantar bantuan kemanusiaan, kemungkinannya akan diikut serta oleh beberapa negara Islam dan Arab. Kononnya, negara-negara ini mahu membantu Gaza yang dibelasah penduduknya dengan cara yang paling melampau oleh negara haram Israel yang melakukan keganasan dengan pembunuhan secara beramai-ramai.
Sehinggakan, sekiranya bilangan mereka yang hilang di bawah runtuhan bangunan sangat besar jumlahnya, ditambah lagi dengan mereka yang mendapat kecederaan dan berada dalam kelaparan. Tanpa mengira sama ada daripada kalangan warga tua, kanak-kanak, wanita, atau pesakit di hospital termasuk mereka yang telah mati di dalam kubur.
Adapun bantuan senjata dan kewangan kepada Israel berlipat kali ganda besarnya dan disalurkan secara bertali arus melalui laut, udara dan darat. Berbanding dengan bantuan kemanusiaan dan jambatan terapung sementara yang terumbang-ambing dilambung ombak dan di bawah peluru serta roket serangan Israel yang berterusan boleh membunuh penduduk Gaza ketika datang mengambil bantuan yang tidak berperikemanusiaan itu. Inilah yang dinamakan politik kotor dan paling kotor sepanjang sejarah manusia iaitu tindakan menutup kezaliman yang paling melampau dengan sedikit kebajikan.
Dalam sejarah binatang, ada juga cerita kadang-kadang Allah mengilhamkan binatang walaupun tidak berakal untuk menyelamatkan sesama mereka dan manusia di daratan dan lautan. Hal ini demikian kerana, adanya rahmat Allah dalam kalangan makhluk-Nya. Sabda Rasulullah SAW:
جَعَلَ اللهُ الرَّحْمَةَ مِائَةَ جُزْءٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ، وَأَنْزَلَ فِي الْأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا، فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلَائِقُ، حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا، خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ.
“Allah menjadikan rahmat-Nya dipecahkan kepada seratus pecahan. Disimpan di sisinya 99 daripadanya dan hanya satu sahaja rahmat yang diturunkan ke bumi. Daripada satu juzuk inilah, adanya rahmat dalam kalangan makhluk-Nya sehingga binatang yang tidak berakal tidak akan memijak anaknya yang kecil.” [Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6000, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Taubat, No. 2752, daripada Abu Hurairah]
Malangnya, ada kalangan manusia yang tidak berperikemanusiaan membunuh sesama manusia dengan cara yang paling melampau lebih teruk daripada binatang. Inilah yang sedang dilakukan oleh negara haram Zionis Israel dan sekutunya terhadap rakyat Palestin di hadapan mata seluruh pelosok dunia.
Jenayah perang yang sedang dilakukan oleh Zionis Yahudi sangat mengerikan sehingga berlakunya pembunuhan beramai-ramai yang meluas mangsanya, terdiri daripada kalangan kanak-kanak, warga tua, kaum wanita, pesakit di hospital dan mayat di tanah perkuburan. Sehingga ia merosakkan kebun-kebun berserta segala sumber kehidupan dan perjalanannya.
Tindakan itu menepati jenama yang diberikan oleh Allah kepada kaum Yahudi iaitu ‘ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ’ (kaum yang dimurkai Allah). Kalimah yang diulangi oleh umat Islam yang mendirikan solat pada setiap rakaat.
Walaupun mereka menganut agama Yahudi yang diberikan Kitab Allah yang memberi hidayah, mereka tetap membelakanginya sehingga termasuk dalam senarai kumpulan yang disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ٢٠٥ وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ٢٠٦﴾
“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205) Dan apabila dikatakan kepadanya, ‘Bertaqwalah kepada Allah’, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka, cukuplah (balasannya) neraka Jahanam. Dan sungguh neraka Jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya. (206)” [Surah al-Baqarah: 204-206]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Ramadan 1445 / 12 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 12/3/2024
Ulasan
Catat Ulasan