PRK Kuala Kubu Bharu ujian UMNO

PRK Kuala Kubu Bharu ujian UMNO
Oleh Zulkifli Jalil
26 Mac 2024, 7:35 am


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menjadi ‘ujian sebenar’ kesepakatan kerajaan perpaduan meskipun kerusi itu didominasi tiga penggal oleh DAP.

Biarpun baru tujuh bulan berlalu Pilihan Raya Negeri (PRN) libatkan Selangor dan lima negeri lain 12 Ogos 2023, PRK itu kali ini menyaksikan paluan gendang yang agak berbeza. Dalam situasi rakyat sedang semak-imbang memantau cara kerajaan menangani isu-isu babitkan cukai, subsidi bersasar dan kos hidup menghimpit hari ini, DAP tidak boleh pandang sebelah mata kerusi DUN itu ‘sudah dalam koceknya’.

Tempoh hari PRN itu mencatat Lee Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dari Gerakan, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. Mendiang yang meninggal dunia akibat kanser Jumaat lalu kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.

Untuk PRK nanti, PN sekali lagi menjadi saingan sengit Pakatan Harapan (PH). Dengan jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu telah meningkat lebih 50 peratus, kebarangkalian untuk PN mengubah strategi kali ini dengan meletakkan calon Melayu pula di situ tidak dapat disangkal. Setakat April 2023, difahamkan daripada kira-kira 40,000 pengundi di situ, Melayu seramai 18,551 orang, Cina (12,264) dan India (7,209).

Semasa PRN 2023, PN hampir saja melakukan kejutan di Selangor menerusi penguasaan kerusi-kerusi Melayu. Biarpun undi tipis kemenangan diperoleh di beberapa kawasan, antaranya di Gombak Setia (58 undi), Sungai Kandis (167) dan Dengkil (407), pencapaian 22 kerusi DUN yang diperoleh PN menjadi wake up call kepada kerajaan perpaduan dianggotai PH-Barisan Nasional (BN) di Pusat.

Seandainya peratusan keluar mengundi di Selangor melepasi 80 peratus, tidak 65.84 peratus waktu itu, kedudukan 50-50 atau DUN tergantung sukar dielak. Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari sendiri agak bernasib baik berjaya menyekat ‘Gelombang Hijau’ yang hanya kurang empat kerusi untuk menguasai majoriti dua pertiga iaitu 34 dari 38 kerusi. Akibat ‘gelombang’ itu juga undi majoriti diperoleh Amirudin di DUN Sungai Tua menyusut kepada 5,185 undi berbanding 11,374 pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Demikian juga sasaran 41 kerusi oleh Amirudin jauh dari jangkauan.


Biarpun DAP sekali lagi akan menggalas cabaran calon di Kuala Kubu Bharu, peranan besar mengekalkan kerusi kerajaan perpaduan ‘sebenarnya’ terpikul di bahu UMNO. Keputusan PRN di enam negeri tempoh hari menjadi tamparan besar buat UMNO. Parti itu tidak berjaya meyakinkan ahli dan penyokong akar umbinya terhadap kerjasamanya dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

Sentimen ini sentiasa dilagukan oleh penentang tegar parti itu dari kalangan bekas-bekas pemimpin kanan, ahli parlimen dan ADUN. Yang ketara penjelasan isu kerjasama UMNO-DAP tidak dilakukan oleh tiga sayapnya Pemuda, Wanita dan Puteri. Hanya yang tampak adalah pertelagahan terbuka dan kenyataan pedas ketua pemuda terhadap pemimpin parti-parti dalam kerajaan.

Padahal Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tempoh hari dan di masa lepas, tidak menghadapi masalah menerangkan kepada ahli masing-masing, bahkan rakyat tentang keperluan bertahaluf siyasi dengan DAP.

PRK Kuala Kubu Bharu jelas bukan sebarang PRK. Kempen dijangka gegak gempita dalam suasana ekonomi dan kos hidup yang kian mencabar dan menghimpit. Yang pasti ia platform yang bukan sahaja menguji semangat kesatuan kalangan parti-parti kerajaan perpaduan, bahkan daya saing parti-parti dalam PN.

Dan akan berlangsung sengit bak ‘PRU’ tidak dapat disangkal – apalagi kempen pilihan raya ‘diterjah’ sang tiktoker, youtuber dan merata podcaster. – UTUSAN

Zulkifli Jalil adalah Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia

Ulasan