SRC saman: Tiada bukti Najib pulangkan AS$120 juta



SRC saman: Tiada bukti Najib pulangkan AS$120 juta
NAJIB Tun Razak
Oleh SUWARNI MOKHTAR
13 Mac 2024, 8:05 pm

KUALA LUMPUR: Seorang penyiasat kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tiada bukti yang menunjukkan bekas Perdana Menteri memulangkan semula AS$120 juta kepada firma Singapura, Tanore Finance Corporation.

Menurut pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC, Angela Barkhouse, beliau tidak permah melihat bukti yang menunjukkan Najib memulangkan dana berkenaan daripada akaun peribadinya pada tahun 2013.

Isnin lalu, Barkhouse ketika memberi keterangan melalui aplikasi Zoom menyatakan Najib menerima wang AS$120 juta yang didepositkan ke akaun bank peribadinya.

Wang tersebut merupakan dana yang dipinjam oleh SRC International Sdn. Bhd. daripada Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP).

Saksi kedua SRC itu juga Pengarah Ursan Quantuma International berpangkalan di Kepulauan Cayman berkata demikian ketika menjawab cadangan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib bahawa wang itu dipulangkan melalui penebusan.

Peguam itu mencadangkan bahawa wang itu dipulangkan melalui penebusan dan ia adalah sebahagian daripada AS$620 juta yang dikembalikan kepada Tanore.

Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal oleh sekutu Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.
SAMAN

Pada 7 Mei 2021, Src International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar. dan empat bekas pengarahnya yang bermula hari ini.

SRC International yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN

Ulasan