Bayar gaji pemain bola dengan bantu anak yatim, mana lebih afdal – Sanusi


Bayar gaji pemain bola dengan bantu anak yatim, mana lebih afdal – Sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Oleh .MUHAMAD AIMY AHMAD
6 April 2024, 3:40 pm

ALOR SETAR: Pendirian Kedah untuk tidak menggunakan wang kerajaan negeri bagi membiayai gaji pemain bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kekal sekalipun Sang Kenari kini berisiko disingkirkan daripada Liga Super musim 2024/2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan sebanyak RM16 juta melalui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kepada KDA FC sejak kelab itu ditubuhkan.

Beliau yang juga Presiden KFA menegaskan, sumber kewangan untuk membiayai pengurusan pasukan bola sepak berkenaan boleh dicari melalui kaedah lain berbanding suntikan modal daripada kerajaan negeri.

“Saya tak guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pekerja dalam syarikat.

“Selama ni kita bantu KDA FC melalui KFA. Sejak mula KDA FC ditubuhkan sampai sekarang ini, KFA sudah bantu sebanyak RM16 juta, ingat sikit ka? Lepas itu ada yang kata kita tak tolong.

“Polisi itu sangat mudah. Duit bola kita cari duit lain. KFA sudah tolong, baru-baru ini pun KFA ada bagi berjuta-juta ringgit cuma saya tak mau bising saja,” katanya mengulas masalah baki tunggakan gaji yang belum diselesaikan KDA FC.


Akhbar ini melaporkan, KDA FC diberikan talian hayat sehingga pukul 5 petang pada 20 April ini sekiranya masih memasang impian untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.

Dalam tempoh itu, KDA FC perlu membuat pembayaran penuh tunggakan gaji 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran atau Lesen Kebangsaan ditarik balik sekiranya gagal.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, jumlah yang sudah disalurkan kepada KDA FC itu sudah terlalu besar dan dikira mampu memberi manfaat sekiranya diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti anak yatim.

“RM16 juta kalau diberi kepada anak yatim macam ni cuba bayangkan tengok, kalau kita banding dengan kegunaan untuk bola mana lebih afdal, tentulah anak yatim,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut bimbang dengan sikap penaja yang mungkin akan terkesan untuk menaja pasukan KDA disebabkan KFA pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu.

“Bola ni kalau kita cari duit nanti SPRM mai cekup (tangkap), yang tu pun saya hangat hati juga. Di seluruh dunia semua persatuan bola sepak dan sukan cari sumbangan, macam-macam cara orang menyumbang dan itu pun depa mai cekup kita. Kalau nak bermain politik juga dalam sukan, itu yang susah dan boleh membunuh bola sepak,” katanya. -UTUSAN

Ulasan