Isu stoking: Akmal disiasat bawah Akta Hasutan, Komunikasi
DR. MUHAMAD Akmal Saleh ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Oleh MASZUREEN HADZMAN dan SURAIDAH ROSLAN
6 April 2024, 7:01 am
PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dibuat ekoran tindakannya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak dua laporan diterima polis terhadapnya berhubung isu berkenaan.
ADVERTISING
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) setelah semua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya semalam.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal mengesahkan dia ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah sebelum dibebaskan selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tiada larangan terhadap untuk masuk ke Sabah.
Katanya, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira pukul 10.15 pagi semalam dan terus ditahan untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur.
“Ada satu laporan terhadap saya atas Akta Hasutan mengenai video ceramah saya di Kelantan dan saya meneliti video itu namun, saya rasa tiada satu pun ungkapan yang dikeluarkan untuk menghasut.
“Jadi, saya serahkan segala-galanya kepada siasatan polis dan kita sedia lawan di mahkamah sebab saya tak pernah takut. Saya percaya kita bawa suara kebenaran dan kita tak melakukan apa-apa kesalahan sekali pun,” katanya.
Namun katanya, beliau tertanya-tanya mengapa perlu keterangannya diambil di Sabah memandangkan laporan itu dibuat di Kuala Lumpur.
Katanya, setakat ini tiada langsung laporan dibuat di Sabah yang mana semuanya berlaku di Semenanjung dan beliau datang ke Sabah atas program Pemuda UMNO dalam keadaan yang tenang serta tidak mengganggu sesiapa.
Jelas beliau, beliau akan teruskan dengan tujuan asal ke Sabah iaitu menghadiri Program Kembara Ramadan Pemuda UMNO di Beaufort. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan