Kenyataan Dr. Akmal tidak selari Kerajaan Perpaduan



Kenyataan Dr. Akmal tidak selari Kerajaan Perpaduan
ANWAR Ibrahim bersalam dengan hadirin pada Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 & Konvensyen Antarabangsa Ambedkar di IDCC Shah Alam, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
15 April 2024, 5:50 pm

SHAH ALAM: “Saya tidak mahu melayan kenyataan seumpama itu (isu menteri bodoh),” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas kenya­taan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh yang menyatakan ekonomi negara menjadi teruk kerana ada menteri seperti Nga Kor Ming.

ADVERTISING


Menurut Anwar, kenyataan itu dianggap tidak bersesuaian dengan konteks pentadbiran kerajaan ketika ini.

“Bagi saya, ia tidak proper (betul) dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

“Kami kerja bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr. Ambedkar ke-55 dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, petang semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan DAP Perak menyifatkan Dr. Muhammad Akmal menggunakan taktik menye­rang tanpa asas selepas tidak mampu menyangkal fakta yang dikemukakan berhubung pencapaian menteri DAP dalam Kerajaan Perpaduan.


Penolong Setiausaha Publisitinya, Jenny Choy Tsi Jen berkata, Dr. Muhammad Akmal mendakwa Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyebabkan ekonomi negara teruk namun fakta menunjukkan sebaliknya.

Ini kerana faktanya ialah KPKT mendapat Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022-2023 Kategori Platinum.

Sebelum ini, Dr. Muhammad Akmal berkata, semasa zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, ekonomi tetap naik de­ngan baik walaupun ada kempen boikot dilakukan.

Beliau berkata demikian selepas Kor Ming membuat kenya­taan bahawa akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pekerja-pekerja terpaksa menanggung sengsara.

Dr. Muhammad Akmal me­lancarkan boikot kepada KK Mart selepas pasar raya serbaneka itu menjual stoking kalimah Allah.

Dalam pada itu, ketika dita­nya mengenai sama ada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu sudah dimuktamad­kan, kata Anwar, perkara berkenaan akan dibincangkan kelak.

“Pasal PRK itu, kita juga akan bincang nanti,” katanya. – UTUSAN

Ulasan